Oleh: Nazialita Geynna Maharan

SERI ISKANDAR: Polis berjaya menahan dua orang lelaki dan menemui selaras senapang angin buatan sendiri dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kg Gajah pada awal pagi Isnin.

Dalam serbuan sekitar 3.20 pagi itu, sekumpulan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah telah melakukan serbuan ke kediaman suspek hasil maklumat risikan.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superitendan Mohd Zainal Abdullah berkata, ketika serbuan, suspek pertama sedang berada di dalam rumahnya.

“Siasatan lanjut menemui selaras senapang angin dan teropong dengan tertera jenama Bushnell 3-9X40 EG berwarna hitam dan satu bekas plastic bertutup mengandungi 11 biji bebola besi.

“Polis kemudiannya membuat pemeriksaan lanjut dan menjumpai suspek kedua yang sedang menyorok di dalam sebuah bilik,” katanya ketika dihubungi pemberita.

Jelas beliau, hasil saringan ujian air kencing mendapati kedua-dua lelaki yang tidak bekerja dan berusia sekitar 30-an itu positif dadah jenis Methampetamine.

Tambah beliau, suspek pertama mengakui memiliki senapang tersebut namun mendakwa ianya digunakan untuk menembak ayam.

Mohd Zainal berkata, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 8, Akta Senjata 1960.