PASIR SALAK: Langkah parti pembangkang untuk mengenakan penalti RM20 juta terhadap wakil rakyat mereka yang keluar atau lompat parti selepas memenangi PRU-14 hanya membuktikan tidak kepercayaan tinggi terhadap ahli parti mereka sendiri.

Ahli Majlis Tertingi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, keraguan yang ditunjukkan oleh pihak pembangkang terhadap calon-calonnya mencerminkan sifat kurang keyakinan serta kepercayaan dikalangan mereka sendiri.

“Terpulang nak ikat kaki ke tangan tapi pokoknya sama ada orang kena ikat itu akan buka ikatan atau tidak sebenarnya.

“Dari segi undang-undang boleh ke mengikat seseorang wakil rakyat daripada melompat parti? Saya tak rasa perkara itu boleh dibawa ke mahkamah,” katanya pada satu sidang media di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan PPBM yang sedang mengkaji rancangan membuat kontrak untuk mengikat calon mereka daripada melompat parti dalam usaha melindungi Pakatan Harapan jika menang PRU14 nanti.

Tegas Tajuddin, UMNO atau Barisan Nasional tidak akan sesekali melakukan perkara sama kerana parti mempunyai keyakinan serta kepercayaan penuh terhadap ahli-ahlinya.

“Benda yang boleh mengikat seseorang pemimpin atau wakil rakyat itu sebenarnya ialah perjuangan dia (parti).

“Dahulu 16 ahli parlimen BN pernah dikejar, dipujuk lompat tetapi mereka tidak berbuat demikian kerana perjuangan kita tidak pernah berubah, tetapi mereka (pembangkang) ada perjuangan? Tak akan ada punya,” ujar beliau.