IPOH 4 Ogos – Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) menegaskan penamatan kontrak Ahmad Shahrul Azhar Sofian sebagai pengurus skuad ‘The Bos Gaurus’ disokong sepenuhnya oleh jawatankuasa eksekutif badan induk berkenaan.

Presidennya Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata perkara itu tidak dilakukan secara terburu-buru atau diputuskan secara bersendirian oleh beliau selaku pemimpin tertinggi Pafa. 

”Bukan saya sewenang-wenangnya menggunakan kuasa yang ada untuk tamatkan kontrak beliau.

Kita buat perbincangan dan 11 anggota jawatankuasa telah bersetuju perubahan ini dilakukan.

”Bila berlakunya perubahan di peringkat pucuk pimpinan maka kita perlu ada satu pasukan yang boleh bekerjasama dengan erat,” katanya kepada pemberita selepas majlis tahlil bersama pengurusan Pafa dan pemain Perak di Masjid Sultan Idris Shah II di sini, malam tadi.

Pafa telah menamatkan kontrak Ahmad Shahrul selaku pengurus pada 1 Ogos lalu selepas didakwa gagal memberikan sepenuh komitmen terhadap pasukan dalam aksi Liga Super Malaysia 2018.

Mengulas lanjut, Hasnul Zulkarnain berkata Pafa kecewa kerana Ahmad Shahrul tidak bersama para pemain sebaliknya didapati berada dengan penyokong ketika skuad The Bos Gaurus tumpas 4-1 kepada PKNS dalam aksi terakhir liga super di Stadium Shah Alam, 28 Julai lalu.

“Perkara itu beri sedikit ketidakselesaan kepada pihak pengurusan tertinggi kerana selaku pengurus, beliau perlu berada bersama dengan para pemain di tepi padang,” katanya.

Hasnul Zulkarnain turut mengakui para penyokong agak terkesan dengan keputusan yang dibuat namun katanya ia adalah untuk kebaikan pasukan dalam mengharungi kempen Piala Malaysia.

Beliau turut berharap penyokong dapat melupakan isu tersebut dan turun beramai-ramai bagi memberi sokongan kepada skuad The Bos Gaurus yang akan melayan kunjungan Felcra FC di Stadium Perak, malam ini. – BERNAMA