IPOH – Seperti tradisi yang sering diamalkan sebelum ini, Barisan Nasional Perak akan berusaha menampilkan lebih ramai wanita untuk diketengahkan sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-14.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, peranan golongan terbabit diakui amat penting dalam setiap pilihan raya justeru keputusan memberi laluan kepada mereka perlu dibuat.

“BN akan sentiasa memberi tempat kepada wanita, dalam pengalaman kita mentadbir negeri juga kita mempunyai sejumlah (posisi) terdiri daripada kalangan wanita seperti exco dan ADUN.

“Kita akan teruskan tradisi ini malah kita juga akan menambahkan lagi jumlah calon-calon wanita kita,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Jentera Wanita dan Puteri BN di sini pada Ahad.

Tambah Dr Zambry yang juga Pengerusi BN Perak, calon-calon tersebut akan terdiri daripada ahli-ahli parti di dalam komponen BN seperti MCA, MIC dan Gerakan selain UMNO.

Ketika ini Perak mempunyai empat Ahli Dewan Undangan Negeri, seorang ahli Parlimen dan Speaker Dewan Undangan Negeri wanita yang mewakili BN.

Pada pilihan raya yang lalu, Perak merupakan negeri kedua selepas Johor yang menampilkan calon wanita teramai berbanding negeri-negeri lain.

Sementara itu, usaha tersebut turut disokong oleh Ketua BN Wanita Tan Sri Shahrizat Abd Jalil yang disifatkan sebagai satu usaha memperkasakan wanita dan perlu dicontohi oleh negeri lain.

“Sejak bermulanya pentadbiran Dr Zambry, pengupayaan wanita jika kita lihat berjalan secara sistematik dan sempurna.

“Banyak perlantikan telah dibuat di dalam kerajaan negeri melibatkan wanita dan Perak telah mencipta pelbagai sejarah, kami amat berterima kasih dan menghargai usaha yang dilakukan beliau (Dr Zambry),” ujarnya pada sidang media sama.

Lebih 2,000 anggota jentera yang terdiri daripada Wanita dan Puteri BN membanjiri majlis yang menyaksikan jentera wanita BN dilancarkan secara rasmi.