BAGAN DATUK: Pembinaan tiga lagi Pusat Internet 1Malaysia  (PI1M) di daerah baharu negeri ini merupakan satu bukti bahawa Parlimen Bagan Datuk tidak pernah tercicir daripada peta perancangan seiring dengan pembangunan pesat teknologi negara ini.

 

Timbalan Perdana Menteri,  Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ianya merupakan satu inisiatif berterusan oleh kerajaan dalam usaha mengurangkan “lompang” serta merapatkan jurang teknologi maklumat antara kawasan bandar dan luar bandar.

 

Jelasnya, pembinaan pusat perhubungan yang membolehkan ketercapaian komunikasi “real time” boleh dilakukan di Bagan Datuk, sesuatu yang dianggap mustahil sebelum ini.

 

“Negara menjadi semakin maju, jadi kita yang di luar bandar tidak patut menjadi pemerhati atau penonton sahaja kepada kemajuan ini.

 

“Kita tidak mahu kawasan luar bandar mengalami lompang atau jurang yang besar dari segi memperolehi sistem komunikasi yang baik dengan kawasan bandar,” katanya dalam ucapan beliau.

 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian 3 PI1M Parlimen Bagan Datuk di Kampung Telok Buloh, Hutan Melintang, dekat sini pada Sabtu.

 

Ahmad Zahid juga sempat mengingatkan bahawa kesemua usaha menaiktaraf capaian teknologi komunikasi di Parlimen Bagan Datuk dilaksanakan di bawah pelan khas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

 

 

Beliau tidak menolak kemungkinan untuk menambah lagi jumlah PI1M di Bagan Datuk.

 

 

“Saya dimaklumkan setakat ini terdapat 851 PI1M di seluruh negara dengan Perak sahaja mempunyai 67 buah..

 

 

“Daripada jumlah itu, lima di Bagan Datuk iaitu dia Kampung Selekoh, Pekan Bagan Datuk, Parit 14, Parit 11 dan Simpang Empat, Rungkup. Kalau kawasan lain kebiasaanya hanya ada dua.

 

“InsyaAllah setakat ini sudah ada lima. Sebelum Pilihanraya Umum nanti kita akan tambah lima lagi,” ujarnya.

 

 

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

 

Pada masa sama, Ahmad Zahid turut menggesa agar masyarakat dapat menggunakan internet secara berhemah dengan mengelakkan diri daripada terjebak daripada gejala penyebaran berita palsu.