IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menunjukkan bakat berlakun apabila membuat penampilan istimewa dalam sebuah filem arahan pengarah popular tanah air, Sabri Yunus.

Antara barisan pelakon filem itu ialah pelakon kanan-kanak terbaik Anugerah Seri Angkasa, Izwan Hafiz yang memegang watak Buntat, Imuda, Khatijah Tan, Omar Abdullah, Kazar dan Sabri sendiri.

Buntat mengisahkan bagaimana seorang budak pada tahun 1968 yang lari dari kampungnya untuk mengerjakan haji dengan menaiki kapal haji.

Berbagai kejadian telah terjadi dialami budak tersebut, kesedihan, kegembiraan dan pengorbanan terpaksa dilaluinya.

Ahmad Faizal hanya berlakun satu babak dan pengambaran dijalankan di Taiping yang mengambil masa hanya satu jam.

Beliau memegang watak seorang syeikh penjual buku agama di Pulau Pinang yang banyak memberi nasihat kepada orang ramai yang berada di pelabuhan, terutama Buntat.

“Saya amat meminati dunia filem dan menyokong filem Buntat kerana banyak memberi mesej dan pengajaran, apatah lagi 100 peratus pengambaran filem ini dilakukan di dalam negeri Perak. Ia sedikit sebanyak membantu mempromosi negeri ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Filem Buntat dijadual untuk ditayangkan di pawagam seluruh Negara sekitar September tahun hadapan.