Pasangan suami isteri, Saed Lamin dan Shariah Hashim dari Kuala Kangsar pernah ditawarkan puluhan ribu ringgit oleh individu tertentu gara-gara penangan resepi ais kepal milo yang kini tular di seluruh Malaysia.

 

Melihat kepada deretan pelanggan yang sanggup beratur panjang di gerai mereka di tengah-tengah pekan Kuala Kangsar, sudah cukup membuktikan keunikan manisan yang diolah sendiri pasangan itu.

 

Ambil Masa Hasilkan Resepi Sempurna

IMG-20180213-WA0025 Bagaimanapun kejayaan yang diperoleh mereka hari ini tidak datang bergolek memandangkan ciptaan resepi ais kepal itu memakan masa hampir empat bulan untuk benar-benar sempurna.

 Tinjauan Suara Perak di tingkat bawah ruang niaga Sinar Mekar Abadi mendapati pelanggan sudah mula beratur meskipun gerai belum dibuka, menariknya ada yang membawa mangkuk sendiri untuk merasai ais kepal milo berbanding menggunakan plastik.

 

Menurut Saed Lamin atau dikenali dengan gelaran Tok Abah, idea ais kepal milo terhasil dari pembuatan kek coklat oleh isterinya sebelum ini.

 

Sambil buat kek dia terfikir untuk cipta ais kepal yang dikisar halus bersalut milo dan susu, pada mulanya kami minta keluarga dan jiran rasa dan minta pendapat apa yang lebih atau kurang.

 

“Hampir tiga tahun kami jual tetapi baru-baru ini saja iaitu Disember tahun lepas yang jadi viral. Orang ramai dapat tahu dari Facebook dan Youtube.

 

Walaupun ada yang tawarkan jumlah wang lumayan untuk resepi ini, kami tak akan jual disebabkan formula, tenaga dan masa yang kami usahakan selama ini,”kata Saed yang turut mengusahakan perniagaan kraftangan hamper 20 tahun di situ.

 

Jadi Ikutan Peniaga Lain

 

Sambutan luar biasa terhadap ais kepal milo turut menarik minat peniaga lain yang mencuba nasib menjual menu sama di beberapa kawasan lain seperti Taiping dan Ipoh.

 

Saed berpendapat tidak ada salahnya jika peniaga lain mahu menjual hidangan yang sama, malah dia beranggapan itu salah satu cara buat individu lain merebut peluang keemasan menerusi tuah viral.

 

“Saya gembira sekiranya dapat buka jalan untuk orang lain berniaga, malah saya pun boleh dapat saham pahala. Mungkin mereka hasilkan ais kepal milo sama seperti saya namun mungkin resepi berbeza-beza

 

“Kami hanya gunakan milo dan susu, tiada campuran bahan lain, pelanggan yang selalu minum milo boleh tahu sama ada kami guna milo atau pun gantikannya dengan serbuk koko murah atau timbang,”katanya.

 

Bawa Mangkuk Dari Rumah

Salah seorang pelanggan, Aina Maziah Abd Manan berkongsi pendapat tentang keenakan ais kepal milo di sini, dia yang merupakan pelanggan tetap sejak tiga bulan lalu sering membawa mangkuk dari rumah.

 

“Rasa ais milo di sini memang pekat dan tak sama macam tempat lain yang saya pernah beli. Saya bawa mangkuk sebab boleh beli dalam kuantiti yang banyak dan dikongsi dengan anak-anak. Uniknya ais kepal ini kerana ia lambat cair,”ujarnya.