IPOH: Pekat, berempah dan lemak, itulah yang dirasai oleh penulis apabila mencuba buat kali pertama kuah ciptaan tersendiri hidangan “shellout” oleh DPatin Shellout yang semakin tular di media sosial baru-baru ini.

Makanan laut segar seperti kerang, kepah, ketam, udang dan sotong disaluti dengan kuah pekat ciptaan tersendiri yang cukup manis dan pedasnya, sememangnya kecur air liur dibuatnya.

Bagi Fariza Yeop Idris, 53, pemilik restoran yang semakin terkenal di Simpang Pulai ini, dia menekankan konsep membuat kuah tanpa menggunakan bahan-bahan segera atau “instant” kerana dikhuatiri akan menjejaskan tekstur atau keaslian resepi bagi “shellout” tersebut.

“Antara rahsia di sebalik kuah yang kental, pekat dan berempah ini adalah telur ketam, rempah ratus, lengkuas dan cili kering yang ditumis sehingga naik bau bagi melengkapkan hidangan, memang ramai dah bertanya resepi ini.

 

IMG-20160723-WA0011

“Selain itu, saya tidak akan merebus kesemua makanan laut sekaligus bersama kuah seperti kebiasaan orang lain buat, sebaliknya menggoreng terlebih dahulu bagi menaikkan aromanya, barulah dimasak bersama kuah sekejap sahaja,” katanya kepada Suara Perak.

Menurutnya, meskipun nampak mudah, namun kesemua langkah memasak itu perlu dilakukan secara berperingkat agar kesegaran makanan laut tidak hilang, malah kuahnya akan menjadi ‘sebati’ bersama hidangan.

Katanya, sebelum ini restorannya beroperasi di kawasan Kompleks Renang Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), namun memilih untuk mencuba nasib di Simpang Pulai berikutan berdekatan dengan kediaman selain ruang lebih luas untuk pelanggan.

Fariza berkata, dia meletakkan harga mampu agar warga Ipoh dapat merasai keunikan resepi “shellout”nya pada kadar RM 22 bagi set menu dua orang, lengkap dengan air dan nasi putih.

Antara “signature dish” yang menjadi pilihan ramai di restoran berkenaan adalah Gulai Tempoyak Ikan Patin (RM11-bergantung saiz), Set Kambing Bakar (RM12), Pulut Durian (RM7) dan pelbagai masakan panas.

 

IMG-20160723-WA0009

Ibu kepada empat orang anak itu juga merupakan penyokong kepada kerjasama di antara peniaga tempatan dan FAMA yang membekalkannya bahan mentah secara pukal.

“Saya berharap agar orang ramai dapat bertandang ke sini dan merasai sendiri perbezaan kuah kerana ramai pelanggan pelbagai bangsa terutamanya keluarga, sudah bertandang dan mereka cukup gemar dengan kuah dan kesegaran “shellout” DPatin ini,” ujarnya.

Beroperasi dari pukul 11.30 pagi hingga 12.00 tengah malam, pengunjung boleh melawat restoran ini di Jalan Lapangan Siber, sebaris dengan Hotel De Botani.

Sebarang tempahan boleh dilakukan di talian 014-221-0971 (Asri) atau 012-532-6700 (Fariza) khususnya di hujung minggu.