PULAU REDANG: Selepas hampir 20 tahun menanti untuk memiliki tanah sendiri, 194 penduduk Kampung Baru Pulau Redang kini mampu tersenyum selepas hak milik mendapatkan geran tanah menjadi kenyataan.

Ia direalisasikan apabila mereka menerima geran sementara daripada Ketua Penolong Pentadbir Pejabat Tanah Kuala Nerus Ariffin Abdullah hari ini.

Turut serta dalam rombongan Pejabat Daerah Kuala Nerus itu adalah calon Barisan Nasional Parlimen Setiu , Mohd Jidin Shafee dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman bersama isteri masing-masing.

Ariffin menyerahkan Borang 5A kepada penerima yang layak dan berhak untuk mendapat satu lot tapak kediaman yang diduduki sejak perpindahan mereka dari rumah rakit 20 tahun lalu.

Sementara itu, Bazlan berkata, usaha Kerajaan Barisan Nasional (BN) selama 14 tahun bermula 2004 untuk menyerahkan geran tertunai hari ini.

“Apa yang dilakukan sebelum ini terbantut buat seketika iaitu ketika pemerintahan PAS pada 1999 hingga 2004.

“Ketika itu, kerajaan PAS memberikan geran kepada 27 penduduk yang juga penyokong PAS terpilih dan selebihnya dibiarkan seolah-olah teraniaya,” katanya ditemui pada Majlis Penyerahan Borang 5A di Dewan Komuniti, Kampung Baru Pulau Redang, Setiu.

Penerima geran yang sebelum ini menghuni rumah rakit (perkampungan air) kemudiannya berpindah ke kawasan Kampung Baru pada 1999.

Mereka melahirkan penghargaan dengan usaha yang dilaksanakan kerajaan BN itu.

Penerima Aliza Yusof, 46, berkata, dia bersyukur ke hadrat Ilahi dan berterima kasih kepada kerajaan BN khususnya Bazlan.

“Hampir 20 tahun menanti, hari ini baru jadi kenyataan, walaupun hanya Borang 5A, tapi kami berpuas hati kerana akan dapat geran sebagai hak milik tidak lama lagi,” katanya.

Penerima lain Said Mat Diah, berkata, hasrat untuk memperolehi geran akhirnya dimakbulkan Allah SWT.

“Sudah lama pak cik kumpul duit untuk bayar harga tanah yang didiami,” katanya yang sudah lama tidak bekerja – berita harian

BERiTA BERKENAANPAS Guna Agama Tipu Rakyat – Tun Mahathir