BEHRANG – Penantian 188 peneroka Felda Sungai Behrang selama lebih kurang 30 tahun berakhir apabila dianugerahkan hak milik oleh kerajaan negeri.

Pemberian yang disempurnakan oleh Exco Kerajaan Negeri, Datuk Rusnah Kassim itu diberikan secara berperingkat-peringkat apabila fasa pertama seramai 188 daripada 368 peneroka Felda Sungai Behrang menerima geran masing-masing.

Rusnah berkata, penyerahan geran hak milik tanah milik peneroka itu diserahkan agak lewat disebabkan beberapa faktor.

 

Katanya, ini termasuk peneroka asal telah meninggal dunia dan urusan pindah hak milik tanah tidak dilakukan antara penyebab utama proses penyerahan geran hak milik mengambil masa.

“Apabila semakan dibuat oleh Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Mualim mendapati pemilik asal adalah nama peneroka yang sudah meninggal dunia dan urusan pertukaran nama masih belum dilakukan oleh waris. Ia menyebabkan kelewatan untuk penyerahan geran hak milik tanah.

“Selain itu, pihak PTD Mualim perlu membuat menyukat tanah setiap pemilik yang turut mengambil sedikit masa sebelum kita serahkan geran hak milik tanah kepada peneroka Felda Sungai Behrang untuk fasa pertama ini,” katanya.

188 bagi fasa pertama
Rusnah berkata, untuk fasa pertama, kerajaan negeri menyerahkan 188 geran hak milik tanah dan selebihnya akan dibuat secepat mungkin selepas urusan pertukaran nama dan ukur sukat tanah selesai.

Katanya, kerjasama antara pihak PTD Mualim dan Felda saling membantu satu sama lain untuk memastikan geran hak milik peneroka Felda Sungai Behrang dapat diserahkan dengan kadar segera.

“Untuk fasa kedua, pihak Felda dan PTD sedang diuruskan. Apabila ia selesai, kita akan serahkan geran hak milik dengan kadar segera,” katanya.

 

 

 

 

 

 

 

Sedih tak dapat berkongsi kegembiraan dengan suami

Penerima, Nurma Abd Syukor, 71, berkata, dia berbangga menerima hak milik tersebut selepas menunggu berpuluh tahun untuk mendapatkan hak milik itu.

Namun katanya, di sebalik kegembiraannya itu, dia turut melahirkan rasa sedih kerana arwah suaminya, Nordin Abd Ghani yang sepatutnya menerima hak milik tersebut.

“Gembira itu memang ada tetapi sedih kerana sepatutnya arwah suami makcik yang terima hak milik ini.

“Kami bersama-sama masuk ke dalam Felda Sungai Behrang pada tahun 1969 dan dengan hasil getah sebelum ditukarkan sawit inilah saya membesarkan enam orang anak,” katanya.

Nurma berkata, sebelum ini, dia sudah menerima geran hak milik tanah seluas lapan ekar dan pada kali ini, dia menerima geran tanah daripada baki daripada jumlah sebenar.

“Sebelum ini, makcik sudah terima geran tanah seluas lapan ekar dan kali ini dapat geran tanah dua ekar pula,” katannya.

Hadir sama, Pengurus Besar Felda Wilayah Trolak, Mohd Haidir Muin dan Ketua Peneroka, Sulong Jamil Mohd Shariff

Tak dapat gambar kegembiraan
Bagi Ramli Mat Doa, 71, berkata, kegembiraan menerima geran hak milik tidak dapat digambarkan.

Katanya, ini kerana dia dan isterinya, Aminah Hamzah, 70, menunggu geran hak milik itu sejak mereka mula masuk ke tanah rancangan Felda Sungai Behrang, pada tahun 1969.

Menurutnya, sebelum ini, keluarganya telah menerima geran hak milik seluas lapan ekar dan geran yang diterima itu adalah baki sebanyak dua ekar tanah.

“Kini kami sekeluarga mampu bernafas lega apabila menerima geran ini selepas menunggu lebih kurang 30 tahun dan kami berterima kasih kerajaan negeri dan Felda kerana banyak membantu,” katanya – sinar