SUNGKAI – Penantian selama 36 tahun bagi 115 peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) Besout 2 di sini untuk memiliki geran tanah sendiri akhirnya tercapai apabila mereka menerima dokumen itu hari ini.

Majlis penyerahan geran tanah seluas sekitar 10 ekar setiap orang itu disempurnakan sendiri oleh Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam satu majlis di Dewan Semai Bakti Felda Besout 2.

cab1a04d-38d4-4790-acbc-c92cfceb7a6a

Generasi pertama peneroka di tanah rancangan itu, Mohammad Jawawi Kamaruddin, 61 berkata, beliau bersyukur kerana segala penat lelahnya memajukan tanah selama ini akhirnya mendapat pengikitarafan.

“Saya sudah menetap di sini selama 32 tahun, sudah terlalu lama sangat menunggu untuk mendapatkan geran dan cukup tak sangka akhirnya dapat.

“Kami selaku peneroka FELDA berasa amat bertuah kerana walaupun duduk di luar bandar, pendalaman namun terdapat juga pihak yang prihatin serta menghargai jasa kami,” katanya ketika ditemui selepas majlis terbabit.

Sementara itu, peneroka generasi kedua, Muhammad Kamarulzaman Azman, 34, pula berkata, sebagai seorang anak FELDA, beliau berasa amat berbangga serta terharu dengan keprihatinan kerajaan dalam melaksanakan apa yang telah dijanjikan selama ini.

“Arwah ayah meninggal pada tahun 1997, selepas itu saya sambung meneruskan ladang berkenaan sehingga hari ini, syukur akhirnya ia milik kami. Ini yang selalu dimimpikan oleh kami sekeluarga,” ujarnya beliau.

Majlis penyerahan 115 geran tanah itu juga sekali gus menjadikan kesemua 495 peneroka di Felda Besout 2 kini memiliki geran tanah sendiri.

Dr Zambry berkata, perkara tersebut berjaya dilaksanakan berkat hasil daripada usaha serta kerjasama di antara semua pihak di negeri ini.

“Alhamdullilah, ini adalah berkat usaha yang dilaksanakan secara bersepadu oleh kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN).

“Kita faham mereka telah berhempas pulas dan menyumbang segala tenaga mengusahakan tanah di sini, jadi ini adalah salah satu cara kerajaan menunjukkan keprihatinannya.

“Saya harap mereka (penerima) jaga tanah serta lot yang diberikan elok-elok, jangan biarkan tanah itu begitu sahaja atau jual..mereka perlu ingat anak-anak serta cucu mereka,” katanya pada sidang media selepas majlis terbabit.

Beliau juga memberitahu, penyerahan geran terbabit juga merupakan bukti kebajikan golongan peneroka felda sentiasa dipandang tinggi oleh kerajaan BN dan bukan seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

“Ada sesetengah pihak itu kadang-kadang masuk ke FELDA, dia kutuk kerajaan macam-macam selama satu atau dua jam kemudian mereka pun balik buat hal sendiri, tinggal peneroka-peneroka begitu sahaja.

“Akhirnya siapa yang bantu peneroka-peneroka kita ini? Siapa yang sentiasa menjaga kebajikan mereka, lakukan pelbagai perkara lagi tanpa mengira waktu? Kerajaan juga yang sentiasa bersama peneroka-peneroka,” kata Menteri Besar.