IPOH: Penantian penduduk sekitar Buntong untuk mendapatkan sebidang tanah bagi membina kediaman selama 40 tahun kini berakhir dengan jawapan gembira.

Seramai 133 individu yang kebanyakannya warga emas di kawasan setinggan Buntong akhirnya menerima surat tawaran lot bagi tapak kediaman mereka di Beman Rakyat.

Kesemua surat tawaran Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) itu diserahkan sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam satu majlis di Dewan Serbaguna, SUK pada pagi Selasa.

Bagi Cheah Leong Hoe, 78, dia telah menantikan surat tawaran tersebut sejak mula mendiami kawasan Buntong pada lewat tahun 1970an

Ibu tunggal yang kini mengalami kesukaran untuk bergerak berikutan masalah tulangnya berkata, kini dia boleh menghabiskan masa terakhirnya di sebuah rumah serba baharu kelak.

“Saya merancang untuk membelanjakan apa yang termampu bagi membina sebuah rumah tiga bilik, dengan simpanan sedia ada, bukan untuk saya tetapi untuk anak cucu saya,” katanya kepada Suara Perak ketika ditemui dalam majlis berkenaan.

Sementara itu, N Verasamy, 74, yang sebelum ini bekerja sebagai buruh kasar pula menyifatkan perkara tersebut tidak dapat dipercayainya sebelum ini.

“Saya berada di kawasan setinggan itu sejak 1980-an dan pemberian ini bermakna penantian kami tidak sia-sia,” ujarnya.

Bapa kepada dua orang anak itu berkata, dia sangat beruntung kerana terpilih sebagai kumpulan pertama perancangan pemindahan penempatan semula dari Buntong ke Bemban Rakyat kelak.

Sementara itu, Dr Zambry mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan keraja menyalurkan peruntukan RM5 juta untuk membina infrastruktur di kawasan perumahan itu.

Katanya, terdapat penduduk yang mungkin masih lagi tercicir dari senarai penerima hak kerajaan negeri akan memantau perkara tersebut dalam usaha menyelesaikan masalah untuk proses penempatan semula ke kediaman lebih selesa.

“Saya melihat kawasan Bemban itu mempunyai potensi besar, sepanjang Lebuhraya Ipoh-Lumut itu adalah kawasan pembangunan, terletak berhampiran Bandar Ilmu Seri Iskandar dan institusi pengajian, mereka mempunyai masa depan yang baik,” kata beliau.

Dr Zambry berkata, mereka hanya perlu membayar sekitar RM1,000 termasuk caj premium bagi lot tanah berkenaan dan sebanyak 25 ekar diperuntukkan bagi projek mensejahterakan penduduk setinggan Buntong itu.