Oleh:Nazialita Geynna Maharan

GERIK: Penantian hampir satu abad 20 pemilik rumah di Kg Ramasamy, di sini berakhir dengan kegembiraan apabila mereka berjaya memiliki geran tanah sendiri.

Sebelum ini, lebih daripada 150 penduduk hidup dalam kegelisahan kerana status rumah yang diduduki lebih 80 tahun itu adalah milik pihak ketiga, namun kini mereka mampu tersenyum untuk generasi masa depan kelak.

Mujur, tanah seluas tiga ekar di Kg Ramasamy itu kini menjadi milik penuh semua penduduk berkenaan hasil bantuan daripada kerajaan negeri Perak selama berbelas tahun.

Kalai Selvi Yaacob berkata sejak beliau dilahirkan di Kg Ramasamy 51 tahun lalu, perasaan gelisah dan bimbang sering menghantui mereka sekeluarga.

Katanya, adalah menjadi rutin untuk melihat ayah dan ibunya naik turun ke mahkamah untuk menyelesaikan belenggu pemilikan tanah sejak kecil dan begitu juga dengan dirinya.

“Kes ini bermula apabila ibu dan ayah serta rakan mereka telah menginap di tanah ini sebagai buruh kasar sejak lebih 80 tahun lepas, dan mereka ingin membeli tanah ini daripada tuan tanah kerana sewa sudah terlalu mahal.

“Pelbagai cabaran ditempuhi, wang tidak mencukupi dan sebagainya dan kami terpaksa hidup dalam ketakutan dihalau dari tanah ini, kerana jika diikutkan undang-undang kami tetap bersalah,” katanya kepada Suara Perak.

Mujur, keperitan penduduk Kg Ramasamy didengari oleh pihak kerajaan negeri yang kemudiannya membeli tanah tersebut melalui Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI) pada tahun lepas.

“Banyak cabaran berlaku, duit tidak mencukup untuk membayar balik ke SSI dan sebagainya dan akhirnya, mereka memberikan satu berita gembira kepada kami, kami hanya perlu membayar wang premium berjumlah tidak lebih RM2,000, manakala RM700,000 adalah tanggungan kerajaan negeri,” katanya.

IMG-20170722-WA0050

Sementara itu, G Ramasamy, 56 berkata, dia tidak menyangka bahawa rintihan mereka itu didengari oleh pihak kerajaan negeri Perak kerana kes tersebut telah berlarutan sejak berbelas tahun lamanya.

“Kami semua berada di golongan bawahan, bekerja sebagai buruh kasar dan sebagainya dan anak-anak ada yang melanjutkan pengajian dan masih bersekolah, memang tidak mampu jika membayar dalam amaun tinggi.

“Terima kasih, terima kasih, kini anak-anak kami tidak perlu melalui perasaan takut kami seperti dulu dan akhirnya tanah ini menjadi hak kami,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman berkata sumbangan itu merupakan sesuatu yang menampakkan keprihatinan serta tanggungjawab kerajaan negeri Perak kepada rakyatnya.

“Inilah komitmen yang diperlihatkan, sekiranya penduduk-penduduk ini tak dapat memiliki tanah ini mana lagi mereka nak pergi dengan pendapatan rendah mereka selama ini?

“Kita boleh lihat sendiri, betapa pentingnya kebajikan rakyat di Perak, selalunya kerajaan negeri akan mengutamakan pemaju perumahan dan tidak melabur duit setinggi nilai ini tanpa keuntungan kepada negeri, namun inilah yang menjadi bukti betapa bernilainya rakyat, tanp mengira kaum, latar belakang dan status di negeri Perak,” kata beliau.