Oleh:Nazialita Geynna Maharan

KAMPAR: Nasib seorang penarik kereta yang ingin memindahkan kenderaan seorang pengguna jalanraya berakhir dengan tragedi apabila maut dalam sebuah kemalangan di Kilometer 303.6 Lebuhraya Utara-Selatan hala utara pada petang Rabu.

Dalam kejadian sekitar 6.30 petang Rabu itu,mangsa, S. Murugan,45, terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan yang meragut nyawanya di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superitendan Ng Kong Soon berkata kejadian berkenaan berlaku apabila sebuah kenderaan jenis Isuzu DMax hilang kawalan berikutan terlanggar lopak air dan terbabas ke bahagian kiri jalan.

“Kenderaan berkenaan kemudian melanggar sebuah kenderaan jenis Peugeot yang berhenti kerana kehabisan minyak, serta bahagian belakang kenderaan penarik yang berada di hadapan Peugeot itu.

“Pada masa sama, mangsa telah keluar daripada kenderaan penarik kerana ingin membantu Peugeot itu.

“Sejurus selepas itu,kenderaan Isuzu DMax yang hilang kawalan telah merempuh mangsa sehingga menyebabkan mangsa tercampak ke bahu kiri jalan,dan meninggal dunia di tempat kejadian,”katanya kepada pemberita.

Katanya, keputusan bedah siasat di Hospital Kampar mendapati punca kematian adalah disebabkan “Polytrauma Secondary to Motor Vehicle Accident”.

Ng berkata pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut dan waris mangsa juga telah dimaklumkan berkenaan insiden tersebut.

“Tiada sebarang tangkapan dilakukan dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1986,”katanya lagi.