PENYAMUN berputih mata apabila beg tangan yang disamunnya hanya mengandungi bekas cermin mata dan beberapa biji gula-gula.

Kejadian berlaku kira-kira 5 petang di Jalan Dusun Muda, Kota Bharu, petang semalam.

Bagaimanapun, suspek berjaya ditahan 15 minit oleh orang ramai ketika cuba melarikan diri.

Suspek berusia 27 tahun kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata sebelum kejadian, pensyarah lelaki berusia 46 tahun menaiki kenderaan jenis Toyota Estima bersama isterinya untuk berjumpa dengan adik iparnya di tempat kejadian.

Katanya, pensyarah itu menyedari dua lelaki menaiki motosikal jenis Honda EX5 berada berhampiran kenderaannya.

Ismail berkata, menurut pensyarah itu, pembonceng motosikal tiba-tiba turun dari motosikal itu dan membuka pintu hadapan pemandu lalu mengambil beg tangan milik isterinya.

“Pensyarah itu cuba mengejar tetapi tidak berjaya. Beberapa orang awam yang melihat kejadian turut mengejar suspek.

“Tuah tidak menyebelahi kedua lelaki itu apabila motosikal yang mereka naiki terbabit dengan kemalangan jalan raya di hadapan pasar raya di Jalan Sultan Yahya Petra, beberapa kilometer dari tempat kejadian.

“Seorang suspek berjaya ditangkap oleh orang awam, manakala seorang lagi berjaya melarikan diri,” katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

Beliau berkata, suspek dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ II) untuk rawatan kerana mengalami cedera di kaki dan dagu akibat kemalangan.

Katanya, suspek direman selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Ismail berkata siasatan mendapati suspek mempunyai beberapa kesalahan jenayah lain termasuk kes narkotik.

“Kita juga merampas motosikal yang dinaiki suspek dan semakan rekod kenderaan itu tidak dilaporkan hilang dan siasatan lanjut masih dilakukan,” katanya – hmetro