IPOH – Tindakan DAP Perak mencalonkan Abdul Aziz Bari di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebing Tinggi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini disifatkan sebagai tidak menghormati kaum Melayu di negeri ini.

Presiden Majlis Ayahanda-Ayahanda Perak, Mohd Ishraqi Sulaiman berkata, ini kerana Abdul Aziz dikenali sebagai seorang yang tidak menghormati institusi Raja-raja Melayu dan pernah menghina istana dan Sultan Selangor.

“Beliau ditolak di Selangor atas sifat derhaka dan terpaksa keluar dari kampung halamannya, perbuatannya menghina serta mempersolakan kuasa Raja-Raja tidak dapat diterima langsung.

“Beliau terbabit dengan pelbagai kontrversi termasuk menyifatkan bahawa derhaka kepada Sultan bukan satu perkara jenayah pada 2015.

Pada tahun 2014 pula dia pernah mengeluarkan kenyataan menafikan hak Raja-Raja Melayu menamakan Menteri Besar,” katanya pada satu sidang media khas mewakili Jaringan Bersatu Sahabat Perak (JABAT) di sini pada Jumaat.

Tambah beliau lagi, JABAT amat kesal dengan tindakan DAP yang langsung tidak menghormati perasaan orang-orang Melayu khasnya dan rakyat Perak secara amnya yang amat menyanjungi institusi Raja-raja Melayu.

“Kenapa DAP meletakkan seorang yang bermulut celupar serta kurang ajar terhadap Raja-Raja Melayu, ini adalah satu penghinaan dan mencabar hati serta perasaan rakyat,”ujarnya.

Justeru itu, beliau yang mewakili Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang mempunyai ahli lebih 10,000 di serata Perak terbabit mengesa DAP untuk mengugurkan Abdul Aziz sebagai calon mereka pada PRU-14.

“Jika mereka tidak gugur juga, kita akan fikirkan pula apa langkah seterusnya yang boleh diambil sebagai satu persatuan,” kata beliau.

Pada Khamis, Abdul Aziz telah diumumkan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebagai salah seorang calon mereka di Perak untuk bertanding pada PRU-14 nanti.

BERITA BERKENAANSSM Keluar Zakat Korporat Lebih RM 11 Juta