HUTAN MELINTANG: Tindakan DAP meletakkan calon Melayu untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak bagi mengintai kerusi Menteri Besar sekiranya mereka berjaya merampas Perak, memang sudah dijangka.

Ia dikatakan antara strategi parti itu untuk menarik sokongan orang Melayu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, DAP sedar bahawa selama ini orang Melayu masih tidak dapat menerima parti itu.

Menurutnya, DAP juga telah dijangka dari awal tidak akan menggunakan lambang parti mereka, iaitu roket, sebaliknya menggunakan lambang parti lain.

“Telahan ini menjadi benar apabila ada usaha untuk menarik pengundi-pengundi Melayu bagi mengundi calon mereka, termasuk calon Melayu.

“Apa yang telah dianalisis oleh pihak kita dapati wujud fobia di kalangan pengundi-pengundi Melayu terhadap usaha oleh DAP jika mereka terus mengekalkan penggunaan lambang yang lama.

“Dan tentunya dengan langkah meletakkan seorang pakar undang-undang bagi bertanding menggunakan lambang parti lain tetapi mewakili DAP ianya merupakan suatu pengesahan bahawa mengalu-alukan agenda tersembunyi mereka sekarang terserlah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke kilang pemerosesan hasil laut Sen Up Huat di Jalan Tepi Sungai, dekat Hutan Melintang di sini hari ini.

Beliau mengulas pengumuman DAP baru-baru ini untuk meletakkan pakar perlembangaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari bertanding di DUN Tebing Tinggi di Parlimen Ipoh Timor.

Mengenai pengumuman Presiden Persatuan Seni Silat Gayung Ghaib Malaysia (PSSGGM), Ibrahim Mat Zin, 68, atau lebih dikenali sebagai ‘Raja Bomoh Malaysia’ untuk bertanding di Parlimen Bagan Datuk sebagai calon bebas, Ahmad Zahid berkata, beliau mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin bertanding di parlimen itu.

Ujarnya, penawaran sesiapa sahaja untuk bertanding sudah pasti akan memeriahkan lagi suasana pilihan raya sekaligus meraikan makna demokrasi di Bagan Datuk.

BERITA BERKENAAN :