IPOH: Dialog Pembangunan Antarabangsa Pangkor (Pangkor Dialogue) yang memasuki tahun keempat penganjurannya, telah menunjukkan pencapaian di luar jangkaan, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.

“Ini jelas melambangkan hubungan strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri serta menjadi aspirasi supaya Pangkor Dialogue menjadi tempat pilihan dunia untuk pertemuan dalam bidang pembangunan lestari amnya,’’ katanya.

Menurut Dr Zambry, sepanjang tempoh selepas penganjuran kali pertama Pangkor Dialogue pada 2012, terdapat beberapa siri kejayaan yang berjaya meletakkan negeri Perak gah di mata dunia.

“Empat tahun lalu, dalam satu perbincangan santai, saya mengajukan pertanyaan mudah kepada pasukan saya (tentang) bagaimana kalau kita menjadikan Perak sebagai penganjur kepada kegiatan intelektual, pusat pengetahuan, kreativiti dan inovasi.

“Pendek kata, pendekatan kita untuk meletakkan Perak sebuah negeri berasaskan pengetahuan dan membina satu model pembangunan mampan dan ekonomi yang baru,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Pangkor Dialogue 2017 di Casuarina@Meru di sini, hari ini.

Dialog antarabangsa itu menerima perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang berangkat ke majlis perasmiannya pada pagi ini. Dialog itu berlangsung di Casuarina@Meru bermula semalam sehingga 12 September ini.
Menurut Dr Zambry, Pangkor Dialogue turut mengenengahkan ilmu sebagai tradisi dan budaya negeri Perak.

Pada masa sama, ujarnya, PBB telah menerbitkan agenda serupa dalam bentuk Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) yang merupakan tindakan universal bagi menamatkan masalah kemiskinan, melindungi bumi dan memastikan semua orang menikmati kedamaian dan kemakmuran.

Beliau berkata, Perak Amanjaya Blueprint yang diusahakan pada tahun 2009, berkongsi aspirasi yang sama seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam membasmi kemiskinan.

“Apa yang menarik, Perak Amanjaya Blueprint yang diusahakan kerajaan pada tahun 2009 berkongsi cita-cita dan komitmen yang sama iaitu membasmi kemiskinan berdasarkan pendekatan Tiada Tertinggal Tiada Terpinggir,” katanya.

Dr Zambry turut berkongsi pencapaian luar biasa negeri Perak sepanjang empat tahun penganjuran Pangkor Dialogue, termasuk pengiktirafan yang diterima daripada pihak antarabangsa.

“Sepanjang empat tahun ini, Ipoh diiktiraf secara rasmi sebagai ‘Social Business City’ di Asean dan kedua di Asia serta yang kelima di dunia oleh penerima anugerah Nobel, Prof. Muhammad Yunus.

“The Lonely Planet mengiktiraf Perak di kalangan 10 terbaik yang mesti dilawati di Asia; dan Ipoh kini menjadi pusat pertemuan bagi mesyuarat, persidangan dan pameran (MICE),” ujarnya.