IPOH: Pengiktirafan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) terbaik di Malaysia bagi tahun 2016 oleh Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merupakan satu kejayaan yang membanggakan untuk Perak.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pencapaian tersebut bukan perkara yang mudah kerana terdapat 354 kriteria yang dinilai oleh KPKT melalui Sistem Penarafan Bintang PBT (SPB-PBT).

“Sejak SPB-PBT diwujudkan pada 2008, MBI hanya mencapai penarafan tiga bintang dengan markah 70.85 peratus namun hari ini mereka telah berjaya menjadi PBT terbaik negara selepas mendapat penarafan lima bintang dengan markah tertinggi 97.45 peratus berbanding 149 PBT lain seluruh negara.

“Malahan, bukan sahaja MBI tetapi tujuh lagi PBT lain di negeri ini turut mendapat penarafan lima bintang dan hanya 41 sahaja PBT seluruh negara mendapat penarafan sama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Penduduk sesi 2017-2019 dan Penganugerahan Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan 2016 Bagi Negeri Perak di sini, hari ini.

d2f76faa-e0f8-4eeb-9e97-d7a71715fd9cTurut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar.
Menurut Dr Zambry lagi, kejayaan berkenaan merupakan hasil kerjasama mantap dikalangan kepimpinan negeri dan PBT-PBT serta keberkesanan sistem-sitem baharu yang diperkenalkan.

“Meskipun kita ada mendengar beberapa kritikan sebelum ini daripada pelbagai pihak terhadap langkah-langkah yang kita ambil termasuk juga pemimpin turun padang mengutip sampah namun akhirnya ia telah membuahkan hasil.

“Saya harap pencapaian cemerlang ini akan dapat kita teruskan bersama pada tahun akan datang, bukan untuk MBI sahaja tetapi keseluruhan PBT yang ada di dalam negeri ini,” ujar beliau.

Sementara itu, Datuk Bandar Ipoh Datuk Zamri Man merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk warga kota yang memberi kerjasama sepenuhnya kepada MBI sehingga membolehkan PBT itu mendapat pengiktirafan itu.

“Kita telah dinilai dengan pelbagai kriteria termasuk kebersihan, penyediaan kemudahan awam, pengurusan kewangan dan sebagainya, ini tidak akan tercapai tanpa sokongan kerajaan negeri yang dipimpin Dr Zambry, kakitangan dan orang awam di bandar ini.

“Sudah tentu kita harapkan kerjasama serta sokongan padu ini dapat diteruskan dari masa ke semasa dan kita akan teruskan usaha kita bagi memastikan Ipoh kekal sebagai bandar terbaik di negara ini untuk tahun-tahun akan datang,” katanya ketika ditemui di majlis sama.

Tujuh PBT negeri Perak yang turut mendapat penarafan lima bintang ialah Majlis Daerah Manjung (94.75%), Majlis Daerah Batu Gajah (92.60%), Majlis Perbandaran Taiping (92.36%) dan Majlis Daerah Kampar (92.01%).

Ia diikuti dengan Majlis Daerah Kerian (91.43%), Majlis Perbandaran Teluk Intan (90.63%) dan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (90.62%).