LONDON – BRITAIN. Satu perempat kematian kanak-kanak global di bawah usia lima tahun adalah berpunca daripada pencemaran alam sekitar, menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), semalam.

Persekitaran tidak bersih dan tercemar yang menyebabkan penyakit seperti cirit birit, malaria dan radang paru-paru yang boleh membunuh 1.7 juta kanak-kanak setahun.

“Ia sememangnya membahayakan nyawa budak. Sistem imun dan organ mereka yang masih dalam proses perkembangan menyebabkan kanak-kanak lebih terdedah kepada udara serta air kotor,” kata ketua pengarah agensi itu, Margaret Chan dalam satu kenyataan.

Laporan ‘Mewarisi dunia mampan: Atlas pada kesihatan kanak-kanak dan alam sekitar’ mendapati pendedahan berbahaya itu boleh bermula dari dalam kandungan ibu.

Pencemaran udara yang semakin serius menyebabkan peningkatan budak yang terdedah dengan masalah radang paru-paru dan penyakit pernafasan kronik seperti masalah jantungm strok serta barah.

Jelas laporan itu lagi, golongan tersebut juga berisiko mengalami kesihatan serius jika tidak mendapat akses bekalan air bersih.

Ini kerana kanak-kanak mudah terdedah dengan bahan kimia berbahaya menerusi makanan, air dan produk di sekeliling mereka.

– Reuters