Oleh: Nazialita Geynna Maharan
CHEMOR: Seorang surirumah terkilan apabila wang belanja membeli ubat-ubatan anaknya yang kurang upaya, lesap dicuri di rumahnya di Klebang Restu, petang Selasa lalu.

Anaknya yang berusia 13 tahun melihat pencuri meluru masuk dan melarikan beg tangan yang mengandungi wang tunai RM2,000 yang diletakkan di atas meja meja di ruang tamu, tanpa boleh berbuat apa-apa.

Maryani Awang, 46, berkata, semasa kejadian pada sekitar jam 3 petang, beliau dan keluarga baru tiba di rumah setelah selesai urusan di luar.

Katanya, pencuri itu menggunakan kesempatan memasuki rumah melalui pintu hadapan yang tidak berkunci ketika beliau sibuk di dapur, menguruskan makan ibunya yang merupakan warga emas.

Beliau tidak menyangka penjenayah itu berani melakukan perbuatan keji itu di siang hari apatah lagi setelah melihat keadaan anaknya yang serba tidak berdaya.
“Saya nampak kelibat penyamun itu memasuki ruang tamu secara tiba-tiba dan dia sempat berkata, seolah-olah memerli kami yang tak berdaya dengan berkata, ‘kak, saya ambil ni ya,’ sebelum mengambil beg tangan dan telefon bimbit saya.

“Saya cuba mengejar namun dia begitu tangkas melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal, menghala ke jalan besar.
“Saya cuma ingat dia pakai helmet, kurus, berkulit hitam dan orang muda,” katanya kepada Suara Perak.

Maryani berkata, beliau yakin pencuri itu telah memerhati rumahnya sejak sekian lama dan tahu waktu suaminya tiada di rumah dan hanya mereka berempat, yang kesemuanya perempuan, berada di rumah.

Katanya, beliau berasa amat sedih bukan kerana kehilangan telefon bimbit atau beg tangan, tetapi wang yang dicuri itu merupakan hasil titik peluh suaminya yang bekerja sebagai seorang mekanik.

Sebahagian daripada wang itu juga adalah sumbangan orang ramai yang diberi untuk membantunya membeli ubat anaknya yang berstatus OKU.

“Terkejut, sedih, marah, semua perasaan bercampur aduk, lebih-lebih lagi apabila mengenangkan keselamatan anak-anak dan dengan keadaan Intan, yang tidak mampu melakukan apa-apa
.
“Lebih menakutkan, apabila terbayang penyamun itu mencederakan kami..saya dah tak mampu nak fikir apa masa itu,”katanya lagi.
Maryani berkata, beliau telah membuat laporan polis termasuk menguruskan proses mengganti dokumen penting seperti kad bank, MyKad dan kad OKU anaknya.

“Mungkin bagi orang lain hilang RM2,000 tidak begitu terkesan tetapi bagi kami, wang sebesar itu tinggi nilainya.
“Tak sangka ada orang sampai hati buat begitu. Kejadian itu membuatkan kami sekeluarga trauma. Malam tak boleh tidur lena dan gelisah setiap kali mendengar bunyi enjin motosikal,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Intan Liyana Aqilah Mohd Zahari berkata, beliau tidak dapat berbuat apa-apa ketika pencuri itu meluru masuk ke dalam rumah.

“Saya terdiam, saya menjadi sangat takut dan saya nampak dia ambil beg tangan dan telefon bimbit mak dari atas meja.
“Saya tidak dapat camkan mukanya kerana dia pakai helmet. Pada waktu itu, saya cuma berdoa agar dia tidak mencederakan keluarga saya terutamanya adik perempuan saya yang asyik menonton TV,” ujarnya lagi.

Intan berkata, beliau tidak dapat menahan sebak melihat ibunya yang seolah-olah kebingungan setelah menyedari duitnya dicuri.
“Emak asyik termenung dan saya tahu dia fikir macam mana nak beli ubat saya. Walau apapun saya tetap bersyukur kerana kami semua selamat,” katanya lagi.