PENGKALAN HULU: Seorang lelaki yang dikhuatiri hilang ketika melakukan aktiviti pendakian di Gunung Air Ibu, dekat sini, pada Rabu telah dijumpai selamat pada Khamis.

Lelaki berusia sekitar 29 tahun itu ditemui orang kampung di Kolam Air Panas Ulu Leggong, Baling, Kedah dalam keadaan tidak bermaya.

Mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan diserahkan kepada pihak ambulan untuk tindakan selanjutnya.

Seramai 52 orang terlibat di dalam operasi pencarian yang terdiri daripada anggota bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam dan orang kampung.

Dalam laporan awal, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, seramai lapan pendaki terlibat dalam aktiviti itu, namun hanya empat daripada mereka yang selamat turun.

“Empat yang lain tersesat ketika turun menyebabkan seorang ahli kumpulan itu tidak berdaya meneruskan perjalanan.

“Mangsa kemudiannya ditinggalkan sementara tiga pendaki lain meneruskan perjalanan untuk memohon bantuan pasukan penyelamat,” katanya.

Menurutnya, sebaik berjaya mendapatkan bantuan daripada penduduk kampung, tiga pendaki itu kembali ke tempat mangsa ditinggalkan, namun mangsa telah tiada.