KUALA LUMPUR : Perbicaraan rasuah isteri bekas Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, yang ditunggu-tunggu, telah ditangguhkan sehingga Rabu apabila beliau gagal hadir ke mahkamah pada hari pertama perbicaraan atas alasan kesihatan, yang menyebabkan pendakwaan mengemukakan permohonan agar beliau dipenjarakan bagi memastikan kehadirannya di mahkamah.

Ketika prosiding kes itu bermula pada pukul 2.13 petang, Rosmah tidak kelihatan di kandang tertuduh dan Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram meneruskan kes dengan memperkenalkan timbalan pendakwa raya dan peguam yang terbabit dalam kes di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Peguam Datuk Jagjit Singh, yang mewakili Rosmah, memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya tidak dapat hadir pada perbicaraan itu kerana tidak sihat dan telah diberikan sijil cuti sakit sehingga 8 Feb.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan alasan yang dicatat dalam sijil cuti sakit bertarikh 2 Feb itu kerana ia akan dilaporkan media dan berkata ia akan memalukan tertuduh.

Jagjit berkata beliau telah melakukan carian di laman sesawang Google yang memberikan butiran terperinci mengenai keadaan kesihatan anak guamnya dan ia boleh mengancam nyawa. – BERNAMA