KAMPAR: Seorang pendawai maut selepas dipercayai terkena renjatan letrik ketika kerja pemasangan wayar elektrik di KM 16.5 Jalan Besar Ipoh-Kampar di sini, petang semalam.

Semasa kejadian, mangsa, Mohamad Kamil Mohamed, 28, bersama-sama empat pekerja lain sedang memasang wayar tiang lampu elektrik.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Hasron Nazri Hashim berkata, kawan-kawannya yang lain tidak sempat untuk menyelamatkan mangsa.

“Kemudian pada lebih kurang 5.50 petang kawan simati telah membuat panggilan Kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan ambulan.

“Pemeriksaan fizikal ke atas simati di tempat kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah untuk disabitkan dengan kematian tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kampar untuk dibedah siasat dan hasilnya punca kematian adalah renjatan elektrik.

Hasron Nazri berkata, hasil temubual dengan rakan mangsa, simati bekerja dengan sebuah syarikat swasta di Taman Meru Perdana, Chemor, Perak.

Menurutnya, mngsa bersama-sama lapan orang lagi pekerja telah memulakan kerja-kerja mengantikan tiang lampu yang baru bermula 9 Julai lalu.