KUALA KANGSAR – Kemunculan sekumpulan pendekar Melayu di Dataran Sungai Perak, di sini baru-baru ini mengejutkan para pengunjung yang sedang beriadah di kawasan berkenaan.

Pendekar Melayu itu yang berambut panjang, berpakaian segak dan memakai desta dikepala menunjukkan kehebatan mereka sambil bersilat dengan bersenjatakan keris.

Pertarungan sesama mereka dengan aksi yang pantas dan lincah diiringi paluan gong dan serunai membuatkan pengunjung seolah-olah berada di sebuah perkampungan Melayu dahulu kala.

Pengunjung tidak berganjak kerana begitu asyik menonton aksi pendekar-pendekar Melayu cekap  bermain senjata dan persembahan tarian inang oleh gadis-gadis rupawan berpakaian traisional Melayu yang diselang selikan dengan persembahan nyanyian dan seloka pantun.

Sebenarnya apa yang dilihat malam itu adalah persembahan daripada Kumpulan Persatuan Kebudayaan dan Muzik Melayu Malaysia Cawangan Perak sempena Program Himpunan Warisan Budaya Melayu Berbusana.

Program itu dianjurkan oleh Biro Tata Negara dan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar dengan kerjasama Persatuan Kebudayaan dan Muzik Melayu Malaysia Cawangan Perak.

Seorang peserta, Ahmad Nadir Abdul Razak yang lengkap berpakaian ala pahlawan Melayu dahulu kala berharap program itu perlu kerap diadakan bagi menerap semangat jatidiri dan penyatuan orang Melayu terutama di kalangan generasi muda.

Beliau sempat berkias dan berpantun yang bunyinya :- Tepak Bernama Bermandat,

Serlah Seninya Bertahta Gangsa, Retak Agama Sumbinglah Adat, Pecah Budaya

Hancurlah Bangsa.

Yang Dipertua Persatuan Kebudayaan Melayu Perak, Meor Yazid Abdul Manaf pula berpendapat, warisan budaya Melayu yang unik dan kaya dengan kepelbagaian, perlu terus diperkasakan agar penyatuan dan keutuhan bangsa Melayu dapat dikekalkan.

 

“Saya menyambut baik program seumpama ini dan Parlimen Kuala Kangsar mengambil inisiatif dan langkah proaktif bagi memperkasakan sejarah warisan budaya demi penyatuan orang-orang Melayu,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, YB Dato’ Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang turut menjayakan program itu berkata, warisan budaya Melayu perlu diperkasakan agar penyatuan dan kekuatan Melayu terus berkekalan.

“Warisan budaya Melayu tidak harus disimpan di dalam muzium sahaja tetapi perlu dipamer, dipertontonkan dan dipersembahkan, terutama kepada golongan muda agar jiwa dan semangat jatidiri mereka sentiasa disemai dengan adat dan warisan budaya Melayu,” katanya.

Menurut Wan Khair-il, langkah pertama yang beliau ambil sebagai Ahli Parlimen Kuala Kangsar ialah untuk memperkenalkan adat warisan budaya Melayu agar ia dapat terus diperkasakan demi penyatuan bangsa Melayu di negara ini.

 

“Bagi saya, aktiviti yang kita buat ini adalah untuk kita menyiarkan dan menyebarkan warisan budaya Melayu bagi menyedarkan kembali kepada bangsa Melayu bahawa kita sebenarnya ada adat dan budaya yang perlu kita pertahankan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Tourism Perak Management Berhad, YB Mohamad  Kamil Safie yang juga ADUN Manong menyifatkan perhimpunan itu amat berjaya dengan kehadiran hampir 1,000 pengunjung.

Menurut beliau, perhimpunan seperti itu bukan setakat berjaya menghidupkan kembali adat warisan dan budaya Melayu, malah memperagakan busana Melayu lama yang begitu indah apabila dipakai.

“Apabila melihat aksi pendekar dan hulubalang Melayu yang lengkap berpakaian tradisional, melonjakkan lagi semangat dan kebanggaan kita sebagai orang Melayu dan adat warisan budaya Melayu inilah yang perlu kita pertahankan,” katanya.