PANGKOR: Pendekatan yang lebih tegas dan komprehensif perlu digarap supaya bahasa Melayu berperanan bukan sahaja sebagai pengantara, tetapi mencakupi segenap fasa perhubungan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, penggunaan bahasa Melayu masih berada di takuk lama dan segala kaitan dengan bahasa itu diibaratkan sebagai melepaskan batuk di tangga.

“Sejarah juga merakamkan betapa perkembangan bahasa Melayu menjadi terpiuh dari trajektori asalnya, bukan saja ia hilang peranan sebagai lingua franca di rantau ini, bahkan turut diperlekehkan di bumi sendiri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Penutup Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor (Pulara) Kali Ke 8 di Arena Pangkor di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan,Kebudayaan,Kesenian,Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohd Radzi; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Dr. Muhammad Amin Zakaria dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

pendekatan_komprehensif 4

Dalam pada itu, Dr. Zambry menjelaskan, Pulara 8 berjaya menyerlahkan beberapa idea bernas dari 10 pembentang yang mengambil bahagian di dalam persidangan kali ini.

“Hakikat bahasa ini merupakan bahasa kelima terbesar dunia dengan lebih 300 juta penutur sudah cukup untuk kita martabatkannya tanpa lengah.

“Dalam isu bahasa Melayu, kita tidak harus bersikap rendah diri dan lebih penting, kita harus berbangga dengannya,” ujarnya.

Dalam konteks Pulara, ujar Dr Zambry, ia telah menggariskan hala tuju yang menyasarkan penyertaan golongan ahli akademi dan guru, penyair, sasterawan serta aktivis seni berbilang negara.

Penyair dan pemakalah bagi Pulara tahun ini merangkumi negara tempatan, jiran serantau dan antarabangsa seperti Indonesia, Thailand, Singapura, India, Brunei, Jerman, Australia, Sepanyol, China, Amerika, Jepun, Bangladesh dan Timor Leste.

Persidangan kali ini dengan tema “Bahasa dan Persuratan Melayu Merentasi Zaman” khusus untuk menyebarluaskan penemuan amalan terbaik dalam bidang persuratan Melayu serta kajian dalam bahasa, budaya dan sastera Melayu di peringkat global.