TANJUNG RAMBUTAN: Senyuman terukir di setiap wajah kanak-kanak Orang Asli di SK Sri Tanjung, di sini apabila permohonan sekolah itu untuk mendapatkan sebuah bangunan baru telah mendapat sokongan penuh daripada kerajaan negeri.

Kesemua 131 murid serta 10 guru sekolah tersebut yang sebelum ini terpaksa menimba ilmu dalam keadaan bilik darjah yang sempit dan tidak selesa bakal mendapat sebuah bangunan setinggi empat tingkat.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria berkata, cadangan pembinaan bangunan baru itu tepat pada masanya dan memang amat diperlukan oleh sekolah yang terletak sekitar enam kilometer daripada jalan utama Tanjung Rambutan itu.

“Kerajaan negeri Perak sentiasa percaya bahawa Orang Asli juga memainkan peranan penting dalam pembangunan negeri justeru permohonan Persatuan Ibu Bapa dan Guru ( PIBG) adalah tepat pada masanya memandangkan bilangan murid turut meningkat.

“Keperluan tambahan juga diperlukan, seperti alat bantuan mengajar untuk memastikan perjalanan Pembelajaran dan Pengajaran ( P&P) oleh guru-guru akan dapat dilaksanakan secara lancar dan menarik sekaligus memperbaiki prestasi murid,” katanya kepada Suara Perak baru-baru ini.

Jelas beliau, keadaan bilik darjah yang sempit juga menjadi faktor utama untuk menambah fasiliti bangunan baru di sekolah yang terletak sekitar 35 kilometer dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinta Utara.

Beliau menambah, berikutan ruang tempat yang terhad maka pembinaan bangunan setinggi empat tingkat itu amat diperlukan untuk meningkatkan kualiti infrastruktur pendidikan di sekolah tersebut.

“Anak-anak Orang Asli, tidak pernah ketinggalan dalam mendapatkan akses pendidikan yang berkualiti, malah kesemua kemudahan infra di SK Tanjung ini juga setaraf dan seiring dengan sekolah lain.

“Begitu juga dengan tenaga pengajar yang terlatih yang dihantar untuk membentuk seorang insan berguna di kalangan mereka satu hari kelak,”katanya lagi.

Buat masa ini, SK Tanjung mempunyai tiga buah bangunan sekolah menyerupai rumah teres dan sebuah bangunan milik Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di mana surau dan kelas agama rakyat turut disediakan.

03fa21d1-77ac-4501-a220-e3b373d4a19e

9e189cec-892a-4644-9998-1c4f19c25f3a

8dfe248c-e10b-4089-b6d3-0e8b3e9f6976

57076b0f-9c1f-4901-8ea6-b22fa66d1595