BAGAN DATUK: Agenda pendidikan negara yang diperjuangkan kerajaan ketika ini khas untuk kesemua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.

Timbalan Perdana Menteri DatukSeri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan jangan ada mana-mana pihak memperkatakan usaha kerajaan tersebut beragendakan politik dan hanya untuk meraih undi semata-mata.

“Bidang pendidikan terlalu dekat dihati saya dan peruntukkan yang diberikan khsusunya untuk meningkatkan pencapaian pendidikan di daerah ini bukan kerana politik atau mahukan undi.

“Mereka (pelajar) belum layak pun untuk mengundi,” katanya ketika berucap merasmikan majlis perayaan hari guru peringkat daerah Bagan Datuk dan Hilir Perak 2017 di sini pada Khamis.

Justeru itu, beliau mengesa pemimpin masyarakat, termasuk ahli politik serta warga pendidik untuk bersatu demi agenda pendidikan dan menunjukkan contoh yang terbaik kepada orang ramai dalam menyokong usaha kerajaan.

“Kita adalah pemimpin pendapat, sekiranya pendapat kita baik atau sebaliknya ia akan menjadi ikut, jadi kita hendaklah sentiasa positif walaupun berbeza pendapat,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu warga guru di negara ini seharusnya dihargai setiap masa dan bukan hanya setibanya sambutan haru guru pada 16 Mei setiap tahun.

Katanya, jasa golongan berkenaan seharusnya dihargai setiap masa di atas pengorbanan mereka mendidik anak bangsa dan diangkat sebagai golongan yang berstatus sosial tinggi dalam masyarakat.