Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini menasihatkan pihak pembangkang agar tidak mengguna pakai isu pendidikan untuk meraih publisiti murahan dalam mengejar kepentingan politik mereka.

Timbalan Menteri II, Datuk Chong Sin Woon berkata, elemen pendidikan merupakan perkara yang menjadi tonggak dalam membangunkan anak bangsa dan bukannya mainan dalam meraih perhatian rakyat.

Beliau secara tegas menempelak dakwaan pihak pembangkang yang mempersoalkan ketelusan pemberian peruntukan untuk sekolah-sekolah jenis kebangsaan, baik di peringkat menengah dan rendah.

“Mereka membawa kain rentang dan mengadakan demonstrasi dan mengatakan itu, ini, bagaimana sekolah ini dan itu tidak dibuka, sedangkan di dalam negara kita mempunyai sistem, rangka kerja dan struktur yang lengkap yang disediakan oleh kerajaan untuk membina sebuah sekolah, bukannya buat sesuka hati,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan cek dalam Majlis Penyerahan Cek Khas kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) di Dewan Ave Maria Convent di sini pada petang Isnin.

Sin Woon yang juga Ketua Pemuda MCA turut memberi nasihat kepada pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang cuba memesongkan fakta mengenai kelewatan pemberian peruntukan kepada sekolah jenis kebangsaan.

Katanya, tujuan mereka menguar-uarkan bahawa kelewatan peruntukan yang mengakibatkan sekolah itu gagal beroperasi adalah tidak benar malah berniat jahat.

“Saya perlu membetulkan persepsi ini. Padahal, setiap awal tahun KPM akan mengagih-agihkan peruntukan khusus untuk tujuan operasi berdasarkan keperluan, jumlah murid dan ianya disalurkan secara adil. Ini adalah komitmen kerajaan buat sekian lama.

“Tetapi, ada juga yang datang dan membuat tohmahan dan fitnah mendakwa bahawa peruntukan diberikan kerana pilihan raya umum yang bakal mendatang namun sebaliknya, peruntukan diberikan saban tahun mengikut keperluan.

“Untuk pengetahuan semua, SMJK sebelum ini hanya menerima sebanyak RM3 juta sahaja tetapi hasil perbincangan peruntukan berjaya ditambahkan kepada RM15 juta, jadi walaupun kita walaupun kita lewat tetapi manfaatnya masih besar,” katanya.

Sebelum itu, Sin Woon menyerahkan cek sumbangan khas kepada 17 buah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Cina daripada Kementerian Pendidikan bagi membantu proses penyelenggaraan dan penambahbaikan sekolah.

SMJKC di Perak menerima peruntukan tertinggi sejak tahun 2012 sehingga tahun 2016 yang berjumlah keseluruhan sebanyak RM24,525,000.

Bagi tahun 2016, SMJK di seluruh Perak menerima peruntukan sebanyak RM6,050,000 daripada jumlah keseluruhan bantuan sebanyak RM15 juta.