IPOH: Pendidikan dan kemiskinan bukan faktor penyebab seseorang menjadi radikal, sebaliknya rasa kecewa, marah dan ada rasa ditinggalkan ketika mereka melihat ketidakadilan.

Seorang pembentang di Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT), Ibu Yenny Wahid dari Indonesia berkata, kajian nasional yang dijalankan terbukti banyak pengebom berani mati itu berpendidikan dan cukup berpengaruh dan juga dari segi ekonomi.

Beliau memberi contoh seorang pengebom berani mati dari negaranya yang sekarang berada di Syria.

“Keluarga dia saudagar batik di Solo dan dia berpendidikan Sarjana, jadi ini contoh paling mudah. Bukan pendidikan, bukan kemiskinan buat orang jadi radikal,” katanya kepada pemberita di persidangan itu di Hotel Casuarina@Meru pada Selasa.

Ibu Yenny yang juga Pengarah The Wahid Institute, Indonesia turut mengakui tindakan anak-anak muda yang membabitkan diri dengan ulama yang kononnya berjuang atas nama berjihad tetapi dengan cara menjadi pengebom dan bunuh diri.

“Mereka ingin lakukan sesuatu, ikut demonstrasi tumbangkan rejim tetapi bertemu dengan orang yang mengaku sebagai ulama tetapi ajaran yang diajar untuk berjihad dengan cara bunuh diri, ini merupakan kombinasi yang parah,” ujarnya.

Beliau turut mengakui cabaran lain yang menyumbang kepada golongan radikal ini ialah bahan kandungan dalam media online.

“Cabaran lain ialah bahan di online yang berbaur kebencian,” katanya.

Dalam pada itu, Ibu Yenny membangkitkan peranan berkesan yang pernah dimainkan oleh wali-wali sembilan antaranya Sunan Kalijaga yang menerapkan misi dan visi penyebaran Islam menerusi seni.

Ujarnya, peranan yang dimainkan oleh para wali itu terbukti berjaya menyatupadukan ummah ke arah syiar Islam di Nusantara.