PETALING JAYA : Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkata janji Pakatan Harapan untuk menawarkan  pendidikan percuma di universiti awam hanya boleh dilaksanakan dalam dua hingga tiga tahun akan datang.

Beliau berkata, kementeriannya kini di peringkat akhir penelitian mekanisme untuk mengurangkan yuran di universiti awam.

Buat masa ini, katanya, universiti awam masih mengenakan yuran minimum walaupun kerajaan menyediakan subsidi pendidikan.

“Pendidikan percuma kalau lihat di peringkat persekolahan memang tidak dikenakan yuran kepada anak-anak sekolah. Itu dikira percuma.

“Insya-Allah dalam tempoh dua hingga tiga tahun ke hadapan, kita akan memastikan janji yang disebutkan itu boleh ditunaikan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini ketika menjawab soalan Salim Sharif (BN-Jempol) mengenai janji PH menyediakan pendidikan percuma dalam manifesto pilihan raya umum tahun lalu.

Beliau berkata, kerajaan meletakkan keutamaan untuk melunaskan hutang tertentu dan mengkaji langkah terbaik untuk menunaikan hasrat itu.

Sementara itu, Maszlee berkata, deposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) bagi sembilan bulan pertama tahun ini mencecah RM475.6 juta berbanding RM400.7 juta bagi tempoh sama tahun lalu dan RM263.3 juta pada 2017.

Beliau berkata, trend deposit SSPN-i menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun.

“(Kadar peningkatan deposit) bagi Jan hingga Sept 2019 adalah sebanyak RM106 juta berbanding RM86 juta untuk tempoh sama bagi 2018 dan RM31.6 juta untuk 2017,” katanya menjawab pertanyaan Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur).