Parit Buntar – Kerajaan negeri tetap menjadikan pendidikan sebagai antara agenda utama dengan memantapkan keupayaan golongan pendidik serta meningkatkan kecemerlangan pelajar.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria berkata, usaha itu dilakukan melalui penggemblengan usaha pelbagai jabatan dan agensi termasuk Yayasan Perak dan KPerak.

Sebagai contoh, jelas beliau, kerajaan negeri mewujudkan inisiatif seperti program Ez Learn 2U dan Amanjaya Online Tuition, dua portal pendidikan yang menyediakan akses yang mudah kepada para guru dan pelajar walau di mana mereka berada.

“Kita harus terus berusaha tanpa mengenal penat lelah,”  katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama kira-kira 600 warga pendidik Daerah Kerian di Dewan Kerian Permai di sini pada Selasa.

Program tersebut merupakan sebahagian daripada Program Pemukiman YAB Menteri Besar Perak selama empat hari di Daerah Kerian yang bermula hari ini.

dr amin2

dr amin3

Dr Amin juga menyeru para guru untuk terus berazam menjadikan matlamat “Perak excellence” dalam peperiksaan awam.

“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada golongan pendidik kerana menjadikan Daerah Kerian sebagai daerah terbaik dalam pencapaian pendidikannya,” kata beliau.

Tambah beliau kejayaan atau kegagalan sesuatu usaha  bergantung pada kesungguhan semua yang terlibat.

Pemukiman kali ini, menurut Dr Amin turut membawa Dr Shukri Abdullah dan Dr Tengku Asmadi Tengku Muhammad, pakar motivasi untuk memberi kata semangat dan motivasi kepada para pelajar. Dianggarkan lebih kurang 500 pelajar yang akan mengambil peperiksaan awam tahun ini terlibat dalam program ini.