BAGAN DATUK: Penduduk Bagan Datuk gembira dan teruja selepas Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengisytiharkannya secara rasmi sebagai daerah baharu ke – 12 negeri Perak.

Kebanyakan mereka yang ditemui selepas pengisytiharan itu memberi pelbagai reaksi positif dan menyifatkan ia sebagai satu pengiktirafan serta langkah permulaan dalam membangunkan Bagan Datuk.

Mohd Najib Hassan, 38, dari Taman Sg. Sumun berkata, dengan wujudnya daerah baharu itu, ia bakal memberikan manfaat dari sudut pembangunan dan peluang pekerjaan, khususnya untuk anak jati Bagan Datuk.

“Sangat bagus dengan pendekatan ini kerana selama ini Bagan Datuk agak terpinggir dari sudut pembangunan dan sangat perlahan rentak pembangunannya.

“Dengan adanya daerah baharu ini, saya amat berharap supaya segala infrastruktur, baik dari jalan raya dan sebagainya bertambah baik,” katanya yang bertugas sebagai guru.

Dalam pada itu, Mohd Shariff Jaafar, 66, dari Batu 20, pula berpendapat, usaha yang dilaksanakan itu menjadi sejarah manis untuk penduduk daerah berkenaan.

“Terima kasih pada semua, sebagai penduduk di sini memang kami rasa gembira.

“Bukan hanya tercipta daerah baharu tetapi selepas ini banyak lagi perubahan yang akan dilaksanakan di sini dengan keprihatinan Sultan Perak, Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Besar,” kata pesara polis itu.

B.Balakrishnan, 59, yang hampir 30 tahun bekerja sebagai buruh estet di Bagan Datuk berkata, sebelum ini, kerajaan negeri dan Persekutuan sudah pun melaksanakan beberapa bentuk penaiktarafan di daerah itu.

“Hari ini kami sebagai rakyat di sini gembira dengan berita ini, bagi saya, banyak bantuan yang sudah kami peroleh. Jalan raya pun sudah mulai elok dengan penambahbaikan yang ada dan jeti di sini pun sudah cantik,” ujarnya.

Junaidah Atikun, 55 dari Sg. Sumun turut merasa bertuah dan berbangga dengan pengisytiharan itu.

“Jika sebelum ini, mungkin Bagan Datuk agak terkebelakang tetapi mudah-mudahan selepas ini ada perubahan menarik yang mampu membangunkan semula daerah ini setanding dengan daerah-daerah lain,” katanya.