GERIK – Pemuda Pas Kawasan Gerik bersama lebih 50 penduduk mengadakan demonstrasi aman membantah penamatan operasi cawangan Bank CIMB di pekan itu bermula, April tahun depan.

Ketua Pemudanya, Mohamad Khatib Sharbini Ismail berkata, pemberitahuan itu agak memeranjatkan penduduk yang berurusan dengan bank berkenaan sejak lebih 30 tahun lalu.

Menurutnya, CIMB antara bank terawal yang beroperasi di kawasan itu iaitu pada 1985.

“Penutupan cawangan bank ini akan menyebabkan urusan penduduk terganggu, pastinya kami merasa terbeban memandangkan cawangan berhampiran berada lebih 100km dari kawasan ini.

“Jadi kita mohon keputusan menutup cawangan bank ini dapat dipertimbangkan semula,” katanya.

Beliau berkata, petisyen berhubung bantahan itu telah diserahkan kepada pengurus cawangan bank berkenaan, minggu lalu.

Katanya, jika penutupan diteruskan, penduduk yang perlu berurusan dengan bank itu terpaksa menempuh perjalanan lebih 155km ke Kuala Kangsar atau memandu selama hampir dua jam ke cawangan Sungai Petani, Kedah.

“Dengan keadaan sebegitu, adalah tidak munasabah untuk penduduk terutama mereka yang dah berusia dan tiada kenderaan sendiri untuk ke cawangan lain.

“Harap pengurusan bank mengambil kira kepentingan masyarakat dan bukan melihat kepada keuntungan semata-mata,” katanya.

Berdasarkan notis pemberitahuan yang ditampal di cawangan bank terbabit, penamatan operasi adalah pada 22 April 2019 – sinar