WELLINGTON: Penduduk di sini berang apabila peruncit senjata, Gun City New Zealand, yang menjual senjata api kepada lelaki yang didakwa menyerang dua masjid di Christchurch, merancang untuk memperbesarkan perniagaannya, kata media hari ini.

Radio New Zealand berkata, sebahagian penduduk yang tinggal berhampiran tapak cadangan itu marah dengan prospek premis yang mencecah lebih 300 meter persegi lengkap dengan gudang, pejabat dan tempat letak kereta serta bakal dibuka pada Ogos.

“Saya tidak fikir orang ramai akan selesa dengan kewujudan kedai senjata api berhampiran kediaman mereka,” kata seorang penduduk, Harry Singh kepada stesen penyiar itu.

Gun City gagal dihubungi untuk mengulas lanjut berhubung perkembangan berkenaan.

Lelaki yang didakwa menembak 51 jemaah dua masjid di Christchurch, Brenton Tarrant membeli empat senjata dan peluru di antara Disember 2017 dan Mac 2018, kata pemilik Gun City, David Tipple Mac lalu.

Undang-undang senjata yang dirombak April lalu mengharamkan penjualan dan pengedaran kebanyakan senjata api separa automatik, aksesori untuk mengubah senjata menjadi separa automatik, kelopak peluru tertentu dan senapang patah.

Kerajaan memperuntukkan AS$139 juta (RM572 juta) dalam kempen beli-balik senjata di seluruh negara sebagai pampasan kepada pemilik yang menyerahkan senjata milik mereka. – Reuters