Oleh:Nazialita Geynna Maharan
BERCHAM: Penduduk di sekitar Bandar Baru Putra, dekat Ipoh melahirkan rasa bimbang mereka terhadap kejadian ular berbisa memasuki rumah yang dikhuatiri mengancam keselamatan keluarga mereka.

Tinjauan Suara Perak di kawasan perumahan mendapati ramai di antara penduduk masih berasa trauma susulan seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang kritikal dipatuk ular tedung pada 4 Disember lepas.

Jauh sekali menyalahkan, ramai di antara mereka telah mengambil inisiatif untuk membersihkan rumah dari lalang dan semak-samun di samping memastikan kawasan sekitar tidak dipenuhi sampah sarap.

Bagi Syafinaz Jusoh, 32, beliau yakin bahawa kejadian tersebut telah membuka mata ramai penduduk untuk tangkas membersihkan kawasan halaman rumah masing-masing dengan segera.

Malah, bagi dirinya sendiri beliau berharap agar pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera bagi membendung isu ular memasuki rumah penduduk di kawasan berkenaan.

“Rumah saya pernah dimasuki ular pada tahun lepas dan sewaktu itu, anak saya masih berusia tiga tahun dan saya segera menghubungi pasukan keselamatan untuk menangkap reptilia itu.

“Sebagai seorang ibu, saya berasa amat trauma dan masih risau dengan keadaan di sini apatah lagi masih ramai anak kecil di perumahan ini, saya mohon akan ada pihak datang melakukan tinjauan di semak, dan sebuah rumah terbiar di kawasan ini,”katanya ketika ditemui Suara Perak di rumahnya, di sini,hari ini.

Jelasnya, terdapat juga kawasan payu dan takungan air besar di bahagian tepi perumahan berkenaan yang dibimbangi menjadi habitat bagi haiwan berbisa tersebut.

Sementara itu, pengalaman bertemu dengan ular tedung masih lagi menghantui Muhammad Shahrul Kamil Kamarudin, 15 yang berharap agar perkara tersebut tidak berulang lagi.

Baru sahaja kehilangan ayahnya pada tahun lepas, Shahrul berkata beliau khuatir sekiranya berlaku apa-apa kepada mereka sekeluarga tambahan pula kedua abangnya melanjutkan pengajian dan tidak berada di rumah.

“Masa tu, sekitar pukul satu pagi dan saya ke dapur untuk mengambil air, tiba-tiba saya nampak macam benda kecil panjang bergerak ke arah kabinet dapur.
“Saya terus kejutkan emak, dan memang kami nampak anak ular tedung sebelum kami hubungi 999 untuk menangkap ular itu,”katanya lagi.

Jelasnya, kejadian adik Izz Fayyad,2 yang dipatuk ular itu sebenarnya amat mencemaskan mereka kerana rumah mereka berada bersebelahan dengan rumah mangsa.

“Bayangkan, kalau saya yang dah remaja ini pun rasa sakit kalau jatuh, inikan lagi adik Izz yang tak tahu apa-apa tapi terima sakit, memang kesian sangat,”katanya lagi.

Sebelum ini, adik Mohamad Izz Fayyad Sumardi, 2, telah dimasukkan ke dalam Unit Rawatan Rapi Pediatrik berikutan dipatuk ular di dalam bilik tidurnya yang menyebabkannya koma sebelum kembali pulih baru-baru ini.

Pemerhatian Suara Perak di kawasan perumahan juga mendapat terdapat beberapa lopak air dan lokasi paya yang berkemungkinan menjadi habitat bagi reptilia itu.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM), Leftenan Rayner Saimon yang melaksanakan operasi penangkapan ular di perumahan berkenaan berkata ini merupakan kes ketiga yang diterima oleh pihaknya sejak sebulan lepas.