BOTA: Cadangan pembinaan lapangan terbang di Seri Iskandar akan memberi manfaat besar kepada penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota.

Sehubungan itu, penduduk Bota tidak harus melepaskan peluang itu.

Calon DUN Bota, Khairul Shahril Mohamed berkata, penduduk Bota mesti memastikan Barisan Nasional (BN) menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini.

“Kita kena jadikan lapangan terbang Seri Iskandar, kalau mahu jadi, mestilah juga pastikan BN menang pada pilihan raya ini,” katanya kepada Suara Perak.

Cadangan pembinaan lapangan terbang di Seri Iskandar terkandung di dalam Manifesto BN yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Shahril, 45, yang juga Ketua Pemuda UMNO dan BN Perak, berkata, pembinaan lapangan terbang itu sudah tentu memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat, khususnya anak muda, baik dari segi peluang pekerjaan, mahupun peluang perniagaan.

Menurut calon baru DUN Bota itu, antara cabaran yang dihadapinya ialah mendekati kira-kira 4,000 pengundi baru di Bota.

“Pada PRU-13, Bota mempunyai kira-kira 17,000 pengundi tetapi sekarang meningkat kepada kira-kira 21,000 yang mungkin disebabkan perkembangan Seri Iskandar,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, beliau sering mendekati anak-anak muda setempat, bukan sahaja melalui program yang diatur, malah melalui media sosial dan perjumpaan tidak formal.

“Kita telah berkhidmat kepada penduduk di sini sejak lama dulu, bukan ketika tiba musim pilihan raya sahaja.

“Boleh dikatakan kita dah kenal mereka dan mereka pun dah kenal kita, kami saling mengenali sudah lama,” kata Shahril.

BERITA BERKENAANSelesai Pertikaian Hak Milik Antara Manifesto BN Kaum India Bagan Datuk

1/2