IPOH: Penduduk di sekitar Kampung Seri Kinta, di sini mengalami detik mencemaskan apabila rumah mereka dilimpahi air berikutan hujan lebat lewat petang Sabtu.

Dalam kejadian sekitar 7.30 malam itu, sebanyak lapan buah rumah di Jalan Seri Kinta 19 di kawasan Pasir Puteh dimasuki air setinggi paras lutut.‎


Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Pegawai Bomba Kanan II Ramli Lot berkata pihaknya menerima panggilan sekitar 7 petang berkenaan kejadian berkenaan.

“Sesampainya di sana, kami terus memeriksa keadaan semua mangsa banjir kilat untuk memastikan keselamatan penduduk daripada perkara tidak dingini.

“Kesemua penduduk di kampung juga sepakat telah tidak berpindah dan menunggu sehingga air surut sepenuhnya,”katanya kepada Suara Perak.

Ramli berkata, pihaknya juga telah membuka sebuah Pusat Kawalan Bomba (PKB) bagi memantau keadaan banjir kilat berkenaan sehingga lewat pukul 10 malam Sabtu.

Tambah beliau, air telah surut sepenuhnya sekitar pukul 10.30 malam dan pihaknya akan melakukan pemantauan dari masa ke masa.