RANTAU PANJANG: Kegiatan penyeludupan khinzir yang semakin rancak menggunakan laluan Sungai Golok menimbulkan kebimbangan penduduk.

Mereka mendakwa, kegiatan itu menyebabkan Sungai Golok yang menjadi tumpuan penduduk di kawasan berkenaan tercemar apabila tulang lebihan babi itu akan dibuang di sungai berkenaan.

Jika sebelum ini, penduduk akan mencari etek dan ikan di Sungai Golok kerana bekalan yang banyak sehingga mampu menjana pendapatan, namun disebabkan kegiatan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan sungai berkenaan kotor dengan darah dan tulang babi.

Penduduk kampung yang mahu dikenali sebagai Esah berusia 50-an berkata, aktiviti itu sudah lama berlaku dan turut dibantu penduduk yang beragama Buddha.

“Kita tidak kisah sekiranya mereka menyeludup kambing atau lembu, tetapi ini membabitkan khinzir dan menyebabkan kami tidak boleh makan hasil dari Sungai Golok itu.

“Setiap kali musim kemarau dan paras air Sungai Golok kering, memang jelas kelihatan tulang khinzir yang berselerakan di lokasi berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Penduduk yang mahu dikenali sebagai Jusoh, 61, meminta pasukan keselamatan memperketatkan kawalan dan rondaan supaya kegiatan penyeludupan khinzir dapat dihapuskan.

“Sekiranya kegiatan itu tidak menjejaskan penduduk kampung, mungkin kami boleh berdiam diri. Namun berapa ramai yang akan makan hasil daripada Sungai Golok sedangkan ia dipenuhi dengan tulang khinzir.

“Kegiatan penyeludupan khinzir begitu aktif dan beberapa lokasi di Kampung Kuala Itik dijadikan sasaran untuk menghantar bekalan terbabit,” katanya.-msn