KUALA LUMPUR: Lebih 500 penduduk De Puncak Ukay, Taman Ukay Perdana membantah cadangan projek perumahan kawasan cerun bukit yang dikhuatiri akan mengancam keselamatan mereka di kawasan berkenaan.

Pengerusi Persatuan Penduduk De Puncak Ukay (DePURA), Zaini Ramlee, mendakwa pembinaan 100 rumah dua setengah tingkat yang bakal didirikan di kawasan yang mempunyai lebih 50 darjah kecerunan berhampiran kediaman penduduk bakal mengundang masalah pencemaran alam sekitar.

“Difahamkan, projek terbabit sudah mendapat kelulusan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sejak tahun 2008 lagi, namun kerja pembinaan hanya akan bermula selepas Tahun Baharu Cina.

“Jika projek itu dilaksanakan, kedudukan kawasan kediaman kami akan menjadi lebih rendah dan dikhuatiri akan berlaku banjir kilat serta tanah runtuh, ditambah dengan keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Justeru, kita ambil langkah awal dengan membuat bantahan supaya pihak pemaju lebih peka dengan aspek keselamatan penduduk di sini,” katanya.

Difahamkan, persatuan itu akan mendapatkan khidmat juru ukur tanah bebas untuk mengetahui dengan lebih lanjut berhubung struktur topografi kawasan penempatan sebelum data terbabit dihantar kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, penduduk, Datuk Nik Haidi Nik Mohamad berkata, persatuan sudah menghantar surat aduan kepada Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin berhubung isu terbabit.

“Kami sudah bermesyuarat dengan MPAJ tiga minggu lalu, namun kami tidak akan berputus asa dan berharap PBT akan mempertimbangkan rayuan penduduk dengan menarik balik kelulusan projek berkenaan.

“Kita tak mahu pembangunan dilaksanakan ini mendatangkan konflik terhadap komuniti di sini,” katanya – berita harian