PARIT BUNTAR: Kehadiran ribuan ulat bulu di Taman Kerian Permai Fasa Dua di sini sejak empat hari lalu mengejut dan membimbangkan penghuni di kawasan sekitar.

Seorang penduduk, Mohd Fadzley Abu Seman, 27, berkata kehadiran serangga dalam kuantiti yang begitu banyak itu mula disedari seorang daripada jiran yang melalui sebuah rumah kosong di belakang rumahnya.

“Apabila dimaklumkan perkara itu, saya dan ahli keluarga lain menyedari kehadiran serangga ‘pelik’ yang sering kelihatan di bahagian rumah selain di atas mesin basuh di rumah kami baru-baru ini rupa-rupanya ulat bulu.

“Kami terpaksa melakukan semburan racun serangga ke atas haiwan itu sekurang-kurangnya empat kali sehari,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Mohd Fadzley berkata lebih membimbangkan, ulat bulu berkenaan turut hinggap pada pakaian yang disidai hingga menyebabkan gatal-gatal serta bengkak pada bahagian kulit.

Seorang lagi penduduk, Mohd Fahmi Abu Seman, 23, berkata sejak menetap di kawasan berkenaan tiga bulan lalu, ini kali pertama dia berdepan masalah serangan ulat bulu.

Kata Mohd Fahmi, dia terpaksa membelanjakan lebih RM100 semata-mata membeli keperluan racun serangga untuk membunuh ribuan ulat bulu itu sejak tiga hari lalu.

“Masalahnya setiap kali disembur, ulat bulu itu akan muncul kembali dengan jumlah lebih banyak dan perkara ini amat menggusarkan keluarga saya dan jiran-jiran berhampiran,” katanya.

Sementara itu, Majlis Daerah Kerian ketika dihubungi memaklumkan akan membawa permasalahan itu kepada Jabatan Pertanian dan Jabatan Kesihatan untuk tindakan susulan.

-BERNAMA