SUNGAI MANIK: Penduduk Kg Air Deras dekat sini boleh menarik nafas lega apabila mendapat sebuah surau baharu bagi membolehkan mereka beribadah dengan lebih selesa.

Surau baharu bernilai RM150,000 itu dibina bagi menggantikan surau lama yang dibuat daripada papan.

Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajudin Abdul Rahman yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani merasmikan surau itu pada Selasa.

Di dalam ucapannya, Tajudin berkata, kerajaan sentiasa berusaha untuk menyediakan pelbagai kemudahan infrastruktur untuk memberi keselesaan kepada rakyat, termasuk surau, masjid, jalan raya, jambatan dan sistem perparitan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan penduduk kampung supaya jangan mudah terpengaruh dengan hasutan pihak tertentu kononnya kerajaan tidak banyak membantu rakyat.

“Rakyat harus bersyukur dengan pelbagai pembangunan yang disediakan oleh kerajaan, termasuk di kawasan-kawasan kampung dan pedalaman,” kata beliau.

Ketika bercakap kepada pemberita kemudiannya, Tajudin berkata, kerajaan berbelaja wang yang banyak untuk menyediakan pelbagai kemudahan untuk rakyat, demi untuk keselesaan mereka.

Bagaimanapun, beliau yakin, sekiranya kerajaan selain daripada Barisan Nasional yang memerintah, sudah tentu kemudahan dan peruntukan yang diperolehi sekarang, khususnya untuk membuat surau dan masjid, sukar untuk diperolehi.

86997de1-8222-4967-8c2c-14c9d0782b00   e4d65583-5df9-4cbc-a807-3b288235da54