KOTA BELUD – Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak hari ini merasmikan Masjid Jamek Kampung Labuan di sini yang dibina dengan kos kira-kira RM200,000.

Masjid yang disiapkan dalam tempoh enam bulan melalui peruntukan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah itu mampu menampung kira-kira 200 jemaah pada satu-satu masa dan ia mula digunakan penduduk pada bulan Ramadan tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Masjid Jamek Kampung Labuan, Sibil Uli dalam ucapan berkata pihaknya berterima asih kepada kerajaan kerana impian penduduk untuk mendapatkan kemudahan beribadat lebih selesa telah menjadi kenyataan.

“Dengan adanya masjid ini, lebih ramai penduduk Kampung Labuan boleh bersembahyang Jumaat di sini. Sebelum ini, ada penduduk terpaksa ke masjid-masjid lain seperti Masjid Pekan Kota Belud untuk solat Jumaat kerana masjid lama tidak dapat menampung jumlah jemaah,” katanya dan turut mengucapkan terima kasih atas kehadiran Salleh yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Usukan.

Sibil berkata dengan adanya masjid baharu berkenaan, masyarakat Islam kampung itu dapat menganjurkan aktiviti keagamaan, sosial dan ekonomi yang bermanfaat untuk penduduk dan masyarakat Islam amnya – bernama