Oleh:Nazialita Geynna Maharan

GERIK: Keresahan penduduk sekitar Felda Beria, di sini terhadap seekor gajah liar yang merosakkan tanaman dan kebun akhirnya terlerai apabila haiwan itu berjaya ditangkap oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Perak.

Pengarahnya, Wan Shaharuddin Wan Nordin gajah yang merosakkan kebun tanaman itu ditangkap sekitar pukul empat petang pada Khamis lepas berikutan aduan penduduk kampung.

Katanya, seramai 10 orang kakitangan daripada Unit Gajah Perhilitan telah terlibat dalam operasi berkenaan dan gajah dengan ukuran lilit kaki 14 inci itu kini dirantai di Felda Bersia.

“Kami mendapat aduan penduduk kampung bahawa gajah ini telah bertindak merosakkan kebun sawit dan tanaman pisang sekitar Felda Bersia.

“Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan cedera namun ianya tetap menimbulkan kerisauan untuk mereka keluar dari rumah dan menjalankan aktiviti harian.

“Pemeriksaan kami juga mendapati bahawa gajah ini berusia sekitar 25-30 tahun bukanlah gajah yang dilepaskan semula sebaliknya ianya berasal dari Hutan Temenggor,”katanya ketika dihubungi Astro Awani pada Ahad.

Jelasnya,gajah seberat dua tan itu dijangka akan dipindahkan sekitar minggu hadapan pada tarikh yang belum ditetapkan buat masa ini.

“Buat masa ini pihak kami akan memantau perkembangan gajah itu secara berkala, sebelum dipindahkan ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK), Kuala Gandah, Pahang,”katanya.