Oleh: Abd Razak Mohd Ali

IPOH: Kira-kira 500 pemilik motosikal di sekitar Manjoi menikmati petrol percuma dalam Program Isi Minyak Motosikal Percuma sempena sambutan Hari Malaysia di Petronas Manjoi di sini petang Sabtu.

Program itu yang dianjurkan Pemuda Barisan Nasional (BN) Parlimen Tambun dengan kerjasama Kelab Sukan dan Rekreasi Parlimen Tambun dan Pemuda UMNO Bahagian Tambun antara lain sebagai menghargai rakyat serta menyatakan rasa syukur dengan kemakmuran negara.

Mereka berpeluang mengisi minyak motosikal percuma dalam tempoh satu jam bermula pukul 5 hingga 6 petang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin turut hadir sambil bertanya khabar dan beramah meramah mesra bersama rakyat sepanjang program tersebut.

Mohamad Ziad berkata, program meraikan hari bersejarah penubuhan Malaysia itu bertujuan memberi kegembiraan dan manfaat kepada masyarakat, khususnya di gugusan Manjoi.

“Saya merasakan program sebegini dapat menyentuh hati rakyat, walaupun ia mungkin kecil dan dipandang mudah, namun rakyat amat menghargainya.

“Inilah juga adalah sebagai tanda kesyukuran sebagai rakyat yang hidup aman dan makmur dinegara ini,” katanya

Menurut Mohamad Ziad, pada program berkenaan pemilik motosikal turut mengisi borang di samping sukarelawan menampal pelekat dengan tulisan ‘Anak Muda Nadi BN’ pada setiap motosikal.

“Mereka kemudian boleh menuju ke ruang pam minyak untuk mengisi minyak dan kita menyerahkan jalur gemilang sesudah selesai,” ujarnya.