ALOR PONGSU – Keadaan sampah sarap semakin ‘menggunung’ di kawasan tapak pelupusan sampah seliaan Majlis Daerah Kerian (MDK) di sini, mengundang resah 17 pemilik rumah di Kampung Muhibbah.

Masakan tidak, kawasan tapak pelupusan sampah MDK yang berkeluasan 4.2 hektar itu berada terlalu dekat dengan penempatan penduduk serta sebuah sekolah jenis kebangsaan Tamil.

Ketua Kampung Matang Pasir, Zainal Abidin Ahmad berkata, pelbagai masalah dihadapi penduduk Kampung Muhibbah disebabkan keadaan sampah sarap yang semakin menggunung berhampiran perumahan mereka.

Menurutnya, sejak beberapa tahun lalu, penduduk terpaksa berdepan masalah bau busuk sampah yang terletak tidak sampai 200 meter dari rumah mereka.

“Selain bau busuk sampah, rumah penduduk akan ‘diserang’ oleh kera-kera yang bertindak membuang sampah sarap dari tapak pelupusan sampah itu ke rumah mereka.

“Maklumlah haiwan liar seperti kera sememangnya gemar berkerumun di kawasan tapak pelupusan sampah itu untuk mencari makanan.

“Kadangkala penduduk agak letih kerana terpaksa membersihkan rumah mereka dari sisa sampah yang ‘dibuang’ kera-kera itu,” katanya kepada media sewaktu meninjau lokasi tapak pelupusan sampah MDK di Alor Pongsu bersama Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, semalam.

Zainal Abidin berkata, masalah utama lain yang sering dihadapi penduduk setempat adalah keadaan bumbung rumah dan kenderaan yang kini semakin cepat berkarat kesan pengeluaran gas kimia yang terhasil daripada sampah sarap tersebut.

Menurutnya, ada penduduk mengadu terpaksa menukar bumbung yang rosak dan berkarat tidak sampai setengah tahun selepas bumbung itu ditukar.

“Penduduk turut bimbang sekiranya tiada langkah segera, timbunan sampah itu akan runtuh dan menyebabkan rumah mereka menerima kesan disebabkan jarak terlalu dekat,” katanya.

Sementara itu, Noor Azmi berkata, tinjauan pihaknya bersama penduduk kampung ke satu-satunya kawasan tapak pelupusan sampah di daerah Kerian di sini, sememangnya mendapati keadaan sampah sarap di situ semakin menggunung dan tinggi.

Menurutnya, sudah masanya MDK mengkaji semula kesesuaian tapak pelupusan itu atau mencari lokasi pelupusan sampah baharu memandangkan keadaan sampah semakin menggunung amat dekat dengan penempatan penduduk.

“Saya bimbang tapak pelupusan sedia ada tidak lagi mampu menampung jumlah sampah banyak yang dikutip dan dibuang MDK dari seluruh daerah ini.

“Terdapat pihak mendakwa tapak pelupusan sampah itu turut mengundang masalah lalat di samping lokasinya terletak berhampiran dengan lebuhraya PLUS yang mampu menjejaskan imej daerah Kerian di mata pelancong,” katanya.

Noor Azmi berkata, sebagai sebuah negeri bersih dan membangun, isu ini sepatutnya diselesaikan segera kerana memberi impak besar terhadap sebarang aktiviti seharian penduduk dan kesihatan mereka.

Menurutnya, selain itu, pihaknya turut difahamkan masalah timbunan sampah sarap turut mengundang masalah lain seperti kehadiran haiwan liar seperti kera yang akhirnya mengganggu ketenteraman penduduk berhampiran.

“Saya sudah membawa masalah ini ke pengetahuan Pegawai Daerah Kerian, Mohd Sabli Bakri dan Majlis Daerah Kerian (MDK) dan bersedia membangkitkannya dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah akan datang.

“Sudah tiba masanya daerah Kerian memerlukan tapak pelupusan sampah baru yang menggunakan kaedah pengurusan sisa pejal lebih sistematik dan efisien.

“Saya difahamkan tapak pelupusan sampah seliaan MDK itu sudah wujud sejak puluhan tahun lalu dan saya yakin ia sudah tidak mampu menampung kapasiti timbunan sampah bertan-tan diangkut ke sini setiap hari,” katanya.

-SinarHarian