KAMUNTING – Lebih 2,000 rumah penduduk melibatkan empat taman perumahan di Taman Kamunting Perdana, Taman Kamunting Fasa2, Taman Lela dan Taman Rakyat di sini, terpaksa menghidu bau busuk najis lembu.

 

Pengerusi Taman Kamunting Perdana Fasa 2, Arawan Azmi berkata, lebih 100 lembu yang berkeliaran di kawasan perumahannya banyak menimbulkan masalah termasuk menjejaskan kesihatan.

Menurutnya, najis lembu yang bertaburan di atas jalan mengundang lalat dan langau selain menghasilkan bau apabila ia kering.

Advertisement

“Inilah masalah kami yang orang pandang remeh kerana lembu-lembu yang dibiarkan berkeliaran di sini sebenarnya mempunyai tuan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Arawan berkata, namun malangnya tuan punya haiwan berkenaan boleh bersikap selamba, lepas tangan dan apabila dimaklumkan tentang masalah itu mereka tidak mengendahkannya.

“Sedangkan sebelum ini perbincangan turut dilaksanakan bagi mencari jalan penyelesaian masalah ini,” katanya.

Sampai ke pintu rumah
Arawan berkata, lembu ini sengaja dilepaskan di kawasan itu untuk meragut rumput di kawasan perumahan berkenaan.

“Majoriti penduduk di sini sudah tidak tahan dengan masalah kerana ada sebahagiannya berkeliaran hingga ke kawasan pintu rumah,” katanya.

Jelas Arawan, selain berkeliaran di kawasan perumahan penduduk, kehadiran lembu ini juga mengakibatkan pokok yang di taman di keliling rumah penduduk turut dimakan.

“Sampai bila harus kami bertahan, kerana kehadiran lembu-lembu ini sangat menyusahkan penduduk,” katanya.

Seorang penduduk, Roslan Ahmad, 49, berkata, najis lembu yang bertaburan di atas jalan raya dan di hadapan rumah mereka amat memalukan terutama ketika mengadakan sebarang majlis.

“Masalah ini telah berlarutan sejak lebih setahun yang lalu, namun sehingga kini tidak ada sebarang tindakan diambil bagi menyelesaikan permasalahan ini.

“Malah beberapa laporan dan aduan juga telah dibuat kepada pihak Majlis Perbandaran Taiping (MPT), tetapi belum ada maklum balas,” katanya.

Mengulas lanjut, Roslan berkata, persoalannya sekarang sampai bila penduduk perlu berdepan dengan situasi dan masalah yang menjengkelkan ini.

“Kami sudah putus asa kerana setiap aduan langsung tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berkenaan.

“Saya amat berharap pemilik lembu bertimbang rasa kerana bukan caranya menternak lembu dengan membiarkan ia bebas sehingga mengganggu orang lain dengan najis yang bersepah sehingga menyebabkan kawasan ini menjadi kotor.

“Kami juga berharap pihak MPT dapat mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah ini,” katanya.

MPT ambil tindakan
Sementara itu, Yang Dipertua MPT, Datuk Abd Rahim Md Ariff ketika dihubungi berkata, tidak dinafikan bahawa pihaknya memang ada menerima aduan daripada penduduk berhubung masalah terbabit.

“Sehingga kini memang kita ada ambil tindakan termasuk merampas lembu-lembu yang berkeliaran,” katanya.

Abd Rahim berkata, tindakan penguatkuasaan terbaharu dilakukan pada bulan lalu apabila kita berjaya menangkap dua ekor lembu.

“Malah sekarang juga kita sedang giat menjalin kerjasama dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk memberi kesedaran kepada penternak-penternak ini,” katanya – sinar