MELAKA: Kira-kira sebulan mencurigai kehadiran teksi di pantai berhampiran Masjid Kampung Pokok Asam, Klebang, di sini, manakala aduan kepada pihak berkuasa didakwa tidak mendatangkan tindakan, 30 penduduk merancang sendiri ‘operasi’ mengintip kegiatan licik itu di kawasan berkenaan.

Langkah dibuat penduduk tiga kampung dari Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Pinang, Pokok Asam dan Batang Tiga itu kerana sudah bosan dengan aduan yang tidak dilayan oleh pihak berkuasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam tadi, kebimbangan 30 penduduk terbabit akhirnya terjawab apabila mereka berjaya menahan seramai 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) dipercayai warga Bangladesh yang mendarat di pantai terbabit.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Gue Teck, berkata serbuan dilakukan penduduk sebaik menyedari kehadiran teksi limo berwarna biru, iaitu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, pada awalnya beberapa penduduk cuba menghampiri kenderaan terbabit yang dilihat sarat dengan penumpang di dalamnya dipercayai memuatkan PATI, namun gagal menahan kenderaan terbabit yang akhirnya berjaya lolos.

“Bagaimanapun, selang beberapa minit kemudian, datang sebuah lagi teksi jenis Toyota Innova memuatkan penumpang dan sebaik cuba keluar dari kawasan berkenaan, teksi itu dihalang oleh beberapa penduduk. Lapan lelaki dipercayai warga asing termasuk pemandunya berjaya ditahan.

“Selepas itu, penduduk menghubungi polis sebelum lima lagi PATI ditemui oleh pemeriksaan polis di kawasna sekitar pantai itu. Turut ditahan seorang lelaki warga Indonesia yang dipercayai tekong darat, dalang kepada kegiatan itu,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Kompleks Jawatankuasa dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Klebang, di sini, hari ini.

Gue Teck berkata, lelaki warga Indonesia yang dipercayai tekong darat juga didakwa cuba menyogok anggota MPKK dengan sejumlah wang dengan harapan dapat melepaskan dirinya.

“Lelaki berkenaan dianggarkan berusia dalam lingkungan 40-an, manakala semua PATI warga Bangladesh yang ditahan itu berusia antara 30 hingga 60 tahun diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini penduduk kampung sudah beberapa kali mendapat maklumat berhubung kegiatan itu namun gagal dalam usaha mereka memberkas kegiatan itu.

Gue Teck turut mendakwa, kebelakangan ini kawasan pantai di Klebang sering dijadikan lokasi pendataran PATI. Justeru, beliau berharap pemantauan berterusan dilakukan pihak berkuasa bagi membendung kegiatan terbabit.

Difahamkan, warga Bangladesh terbabit diseludup masuk ke negara ini melalui Pulau Dumai, di Indonesia yang jaraknya hanya kira-kira 40 kilometer dari pantai Melaka.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad mengesahkan polis membuat tangkapan semula ke atas PATI terbabit dari orang awam serta merampas sebuah kenderaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6 (1)c Akta Imigresen 1963 – berita harian