TANJUNG MALIM : Penduduk di dua buah kampung di sini bimbang dengan pembinaan longkang saliran dan tangki septik dari sebuah projek perumahan yang dikhuatiri boleh menyebabkan pencemaran di Hulu Sungai Bernam.

Mewakili penduduk Kampung Simpang Empat Luar serta Kampung Simpang Empat Dalam, Zul Ujang Musa, 57, berkata sejak Ogos tahun lepas, sebanyak 14 kali kejadian pencemaran di sungai berkenaan berlaku kesan aktiviti pembinaan saliran berkenaan dan aduan dibuat kepada Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM).

“Kami bimbang sekiranya pencemaran Hulu Sungai Bernam berlaku, ia akan menjejaskan kesejahteraan dan kehidupan sosial komuniti setempat selain pendapatan pengusaha kecil industri pelancongan dan nelayan darat terjejas.

“Kampung Simpang Empat terkenal sebagai destinasi perkelahan, perkhemahan dan riadah dalam kalangan pelancong setiap hujung minggu dan musim persekolahan. Kita bimbang pembinaan juga akan mengancam habitat akuatik di sungai ini yang mempunyai pelbagai spesies ikan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dan menyerahkan memorandum bantahan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari di sini, hari ini.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata pihaknya akan sedaya upaya mencari jalan penyelesaian berhubung masalah berkenaan supaya ia tidak berlarutan sehingga menjejaskan kesejahteraan penduduk.

“Saya juga akan pastikan semua peraturan yang ditetapkan dipatuhi oleh pihak pemaju kerana kes (pencemaran akibat projek pembinaan) banyak berlaku di Perak jadi kita tidak mahu ia menambahkan lagi senarai (kes pencemaran).

Terdahulu, lebih 50 orang terdiri daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar dan wakil penduduk mengadakan perhimpunan bagi membantah projek pembinaan itu di hadapan bangunan MDTM di sini. – BERNAMA