PASIR SALAK 8 Jan. – Keluarga pesawah yang kediaman mereka dibina berdekatan kawasan sawah di Mukim Sungai Manik di sini terdedah kepada ancaman ribut.

Malah kawasan tersebut sudah beberapa kali dilanda ribut menyebabkan penduduk terpaksa menanggung kerugian akibat rumah dan peralatan rumah mereka rosak.

Kejadian terbaru pada Ahad lalu, namun mujur hanya melibatkan lapan rumah di Parit 15A Sungai Lampam dan Kampung Sungai Lampam Kanan.

Penduduk mendakwa, kampung mereka kerap dilanda ribut kerana dibina di kawasan lapang di tengah sawah yang terdedah kepada laluan angin.

Ketua Kampung tersebut, Sulaiman Lebal berkata, selain itu sebahagian besar rumah penduduk adalah rumah tradisional yang diperbuat daripada papan.

Katanya, rumah berkenaan sebahagiannya sudah berusia antara 10 dan 50 tahun dan mudah rosak jika dilanda ribut.

“Atap rumah daripada zink mudah tercabut akibat diterbangkan angin. Selain itu pernah juga rumah penduduk ditimpa pokok besar semasa ribut seperti pokok kelapa, mempelam, durian atau sawit yang ditanam dekat rumah.

“Ada penduduk yang rumah mereka sudah berkali-kali dilanda ribut, namun mereka tiada pilihan berpindah kerana inilah kampung halaman mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, pihak ber­kenaan memang ada memberi bantuan, namun ia tidak mencukupi untuk penduduk menampung kerugian yang dialami.

“Sumbangan yang diterima sekadar meringankan beban mangsa ribut tetapi untuk kos membaiki rumah, pemilik harus mencarinya sendiri,’ katanya.

Beliau mencadangkan supaya kediaman penduduk dipasang dengan bumbung yang lebih sesuai atau beralaskan besi serta kaedah baharu menggunakan skru.

“Dengan kaedah ini, atap rumah dapat dipasang dengan kuat dan tidak mudah diterbangkan angin kencang,” katanya – sinar harian